PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan peningkatan kematian akibat Covid-19 sebanyak 44 kes melibatkan 43 warga tempatan dan seorang warga asing sekali gus menjadi rekod tertinggi sejak pandemik melanda.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 26 kes di Selangor, Kelantan (5), Sarawak (4), Kedah (3), Johor (3), Kuala Lumpur (2) dan Negeri Sembilan (1) menjadikan keseluruhan kes kematian setakat ini meningkat kepada 1,866 kes.
Menurut beliau, daripada 44 kematian, 30 melibatkan warga emas yang dikategorikan kumpulan berisiko tinggi dengan purata usia melebihi 70 tahun dengan yang paling tua 92 tahun.
“Seramai 33 kes melibatkan lelaki termasuk seorang warga asing dan 11 wanita berusia antara 48 hingga 92 tahun yang melibatkan pelbagai latar belakang penyakit.
“Antara penyakit dikesan iaitu kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, kanser, strok, dislipidemia, jantung, paru-paru kronik dan gout,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Dr. Noor Hisham berkata, kes positif baharu semalam pula direkodkan 4,140 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 3,432 kes.
“Bagi kes aktif pula menunjukkan penurunan iaitu 42,135 kes berbanding kelmarin 41,471 kes,” katanya.
Beliau berkata, Selangor terus merekodkan kes tertinggi yang melebihi 1,000 kes iaitu 1,507 kes diikuti Johor, 433 kes; Kuala Lumpur, 398 kes; Pulau Pinang, 338 kes; Sarawak, 324 kes; Kedah, 239 kes; Negeri Sembilan, 190 kes; Perak, 182 kes; Terengganu, 119 kes; Pahang, 116 kes dan Kelantan, 109 kes.
“Baki negeri merekodkan kes dua angka iaitu Melaka, 97 kes; Sabah, 60 kes; Putrajaya, 23 kes manakala Labuan, tiga kes dan Perlis, dua kes,” katanya.
Mengulas mengenai 15 kluster baharu, Dr. Noor Hisham berkata, ia melibatkan lapan kluster tempat kerja, empat kluster keagamaan, dua kluster pendidikan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi. – UTUSAN ONLINE










