Bumbung rumah terbang ketika berbuka puasa - Utusan Malaysia

Bumbung rumah terbang ketika berbuka puasa

KEADAAN rumah Darus Ain dan Norhayati Jaber yang rosak teruk akibat ribut di PPRT Bumi Hijau, Pengkalan Bharu, Pantai Remis semalam. - UTUSAN/ SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS:  “Sebelum ini selalu tengok dalam televisyen kejadian ribut, tidak sangka berlaku kepada kami ketika sedang berbuka puasa,” kata Norhayati Jaber, 53, mangsa kejadian ribut di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, rumah didiami Norhayati dan keluarganya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bumi Hijau di Pengkalan Bharu dekat sini, rosak teruk apabila keseluruhan bumbungnya diterbangkan angin.

Menurut Norhayati, ketika kejadian beliau bersama suami, Darus Ain, 52, bersama dua anak lelaki dan seorang menantu sedang menikmati juadah berbuka puasa apabila hujan lebat bersama angin kencang, petir dan kilat berlaku mulai pukul 7.30 malam.

“Ketika itu saya tengok bumbung rumah seperti berenjut-enjut selama beberapa saat dan dengan sekelip mata bumbung terus ‘terbang’ mengakibatkan kami semua basah kuyup dan ketakutan.

“Dalam keadaan kelam kabut terutama mendengar bunyi deruan angin dan kilat sabung menyabung, saya dan menantu, Nurul Anum Abd Halim, 29, tergelincir dan terjatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Norhayati yang juga pengidap barah payu darah tahap tiga ketika itu hanya memikirkan keselamatan diri terus berlari berkaki ayam mencari perlindungan di rumah jiran.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu bagaimanapun bersyukur kerana tiada kecederaan serius berlaku terhadap dirinya dan ahli keluarga dalam kejadian ribut selama kira-kira 20 minit itu.

Menurutnya, ia adalah kejadian ribut terburuk pernah dialami sepanjang 27 tahun menetap di situ.

“Petang semalam, anak saya dan menantu baru siap mengecat dinding luar rumah bagi menyambut raya tapi dah tak ada rasa nak sambut raya dah bila jadi macam ini,” katanya.

Darus pula berkata, beberapa agensi kerajaan termasuk wakil Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung serta Pejabat Penghulu ada melawat mereka sekeluarga pagi tadi.

Beliau yang menghidap sakit jantung dan bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, pegawai PDT memaklumkan kepadanya dianggarkan RM35,000 diperlukan bagi membaiki kerosakan rumahnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim, yang turut melawat mangsa berkata, beliau dimaklumkan lebih 30 rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negerinya dilaporkan rosak akibat kejadian ribut itu.

“Dianggarkan anggaran kerugian keseluruhan lebih RM200,000 dan Pusat Khidmat saya akan cuba membantu setakat mana yang boleh selain meminta bamtuan syarikat seperti Lumut Port dan Yayasan Perak.

“Untuk kerugian yang teruk seperti rumah ini, kita juga mengharapkan bantuan kerajaan Pusat menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)  dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk turun membantu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN