SEREMBAN: Bau busuk daripada sebuah rumah di Taman Marida, Senawang di sini, akhirnya membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai telah mati lebih tiga hari.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung bau busuk tersebut pada pukul 11.32 pagi dan pemeriksaan di tempat kejadian menemui satu mayat lelaki berusia 48 tahun.
“Pemeriksaan dijalankan dan mendapati mayat dianggarkan telah meninggal dunia lebih daripada tiga hari kerana keadaan fizikal sudah membengkak dan berbau busuk.
“Mayat tersebut telah dicamkan oleh abang kandung mangsa dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Hidayat Basly berkata, pihak bomba telah menerima panggilan daripada polis untuk membuka pintu rumah yang berkunci.
“Mayat lelaki itu kemudiannya ditemukan di atas tilam di bilik tidur utama dan pihak bomba telah melakukan disinfeksi sebelum siasatan oleh pihak forensik polis,” katanya.
Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur-unsur jenayah ditemui. – UTUSAN ONLINE










