Banjir kilat: 70 buah rumah di Felda Jelai 4 terjejas - Utusan Malaysia

Banjir kilat: 70 buah rumah di Felda Jelai 4 terjejas

SEBANYAK 70 buah rumah terjejas dalam banjir kilat yang berlaku di Felda Jelai 4, Tampin, awal pagi tadi.- UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Sebanyak 70 buah rumah di Felda Jelai 4 dekat sini terjejas dalam kejadian banjir kilat yang bermula kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, banjir kilat berkenaan berlaku susulan limpahan air Sungai Pador yang tidak mampu menampung aliran air dari hujan lebat di kawasan berkenaan.

“Aliran air di permukaan kawasan lokasi yang terlibat tidak dapat mengalir keluar dengan lancar berikutan paras air sungai yang tinggi.

“Setakat ini, semua agensi di peringkat daerah antaranya polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam turun padang bagi membantu mangsa banjir kilat berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Datuk Abd, Razak Ab Said berkata, susulan kejadian berkenaan, bilik gerakan sementara dibuka di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Jelai 4 bagi membolehkan warga emas dan anak kecil ditempatkan di lokasi berkenaan sementara menanti banjir surut.

Menurutnya, kejadian berkenaan merupakan kali kedua yang berlaku tahun ini di mana kejadian kali pertama berlaku sebelum bulan Ramadan membabitkan 40 buah rumah.

“Kali ini lebih banyak rumah penduduk yang terjejas dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menguruskan bantuan makanan buat mangsa banjir.

“Kerja-kerja pembersihan juga akan dilakukan segera selepas banjir kilat separas setengah meter surut dengan bantuan jabatan, agensi penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu meringankan beban mangsa banjir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN