ATAP gesa PKP lebih ketat dilaksanakan - Utusan Malaysia

ATAP gesa PKP lebih ketat dilaksanakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) menggesa kerajaan  melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat bagi meratakan lekuk penularan wabak Covid-19. 

Presidennya, Chng Huck Teng berkata, ini kerana pihaknya meramalkan lebih banyak pemain industri pelancongan di negeri ini tidak mampu bertahan sehingga hujung tahun ini sekiranya pelaksanaan PKP sedia ada tidak diketatkan. 

“Kami bersetuju untuk mengekang wabak Covid-19 PKP perlu dilaksanakan, namun harus dilakukan dengan cara yang lebih berkesan. 

CHNG HUCK TENG

“Kilang, pasar, tempat keagamaan dan lokasi tumpuan orang ramai harus ditutup dalam tempoh PKP untuk mengelakkan berlakunya kluster baharu manakala hanya seorang  sahaja dibenarkan di dalam kenderaan persendirian dan dua  bagi van atau kenderaan syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurutnya, selain itu kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mengarahkan bank-bank mengurangkan atau membekukan sementara pembayaran caj faedah pinjaman bank. 

Jelasnya, lebih banyak subsidi juga harus diberikan kepada syarikat dalam usaha mengekalkan pekerja malah mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pandemik perlu diberi bantuan secukupnya. 

Dalam pada itu Huck Teng berkata, kerajaan juga perlu mempercepatkan proses pemberian vaksin Covid-19 kepada orang ramai yang dilihat perlahan pada masa ini. 

”Dalam jangka masa panjang, proses vaksinasi mungkin satu-satunya jalan keluar yang dapat diramalkan pada masa ini.  

“Program vaksinasi kerajaan pada masa ini terlalu lambat dan kami mendesak pihak berkuasa mempertimbangkan supaya vaksin tersebut dapat dibekalkan oleh pihak swasta kepada orang ramai yang mampu membeli vaksin,” katanya. 

Tambahnya, langkah itu dapat mempercepat kadar pemberian vaksin terhadap orang awam dan mewujudkan peluang ekonomi kepada sektor perubatan swasta dan pihak-pihak yang terlibat dengan sektor berkenaan. 

Ujarnya, kelewatan melaksanakan proses pemberian vaksin kepada orang ramai boleh menyebabkan tidak ada negara akan menganggap Malaysia sebagai zon hijau setelah pintu sempadan dibuka kembali. 

“Kita juga bimbang jika virus Covid-19 akan terus bermutasi sekiranya rantaian penularan wabak ini tidak dapat dihentikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN