6,290 bayi di Malaysia dijangkiti Covid-19 - Utusan Malaysia

6,290 bayi di Malaysia dijangkiti Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan dewasa sewajarnya perlu bimbang apabila sudah puluhan ribu kanak-kanak kecil termasuk bayi sudah pun positif wabak Covid-19 di seluruh negara.

Kekhuatiran itu diluahkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai peringatan agar rakyat terus lebih peka mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau turut mendedahkan data Kementerian Kesihatan menunjukkan setakat ini 48,261 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dengan 6,290 orang daripadanya ialah bayi bawah 18 bulan.

“Perkembangan terbaharu ini amat membimbangkan dan seharusnya menjadi ‘wake-up call’ (panggilan untuk bangkit) semua pihak terutama ibu bapa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam nada nasihat, beliau mengingatkan masyarakat bahawa jangkitan kes Covid-19 bukan kenal sesiapa untuk menjadi mangsa dan ini turut tidak terkecuali golongan kanak-kanak.

Jika sebelum ini ujarnya, warga emas merupakan golongan rentan paling berisiko dijangkiti wabak itu, tetapi nampaknya ancaman virus tersebut sudah menular kepada budak kecil.

Situasi semasa jelasnya, kian buruk apabila terus mencatatkan lonjakan dengan angka harian pesakit baharu melebihi 7,000 kes hari ini, tertinggi sejak wabak itu dikesan di Malaysia.

“Kita sebagai orang dewasalah yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak ini daripada dijangkiti,” tegas beliau sambil menekankan pematuhan SOP dan amalan norma baharu.

Ismail Sabri juga menyeru rakyat melakukan perintah berkurung kendiri bagi mengelak diri, anak dan keluarga tersayang dijangkiti Covid-19 apabila berada di tempat awam terbuka.

Ibu bapa katanya, turut perlu mengawasi anak mereka dengan elak bermain di luar rumah, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan menggunakan cecair basmi kuman. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN