43 dikompaun berkumpul di dataran jambatan angkat - Utusan Malaysia

43 dikompaun berkumpul di dataran jambatan angkat

ANTARA kenderaan yang berkumpul di dataran muara utara jambatan angkat di Kuala Terengganu, semalam. - GAMBAR TULAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Gara-gara berkumpul di dataran muara utara jambatan angkat atau drawbridge di sini, seramai 43 individu dikompaun RM4,000 setiap seorang pada hari kedua sambutan Aidilfitri, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, kesemua mereka dikenakan tindakan berkenaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka dikesan melakukan kesalahan di tempat awam iaitu berkumpul hingga menyukarkan amalan penjarakan fizikal.

ABDUL RAHIM MD. DIN

“Di samping itu, kita turut mengeluarkan enam lagi kompaun sejak Rabu lalu dengan empat membabitkan tidak memakai pelitup muka serta masing-masing satu kerana kegagalan mendaftar MySejahtera dan kesalahan rentas daerah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu surat tawaran kompaun bernilai RM4,000 kerana berhimpun di dataran muara utara drawbridge tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik mengingatkan orang ramai supaya mematuhi SOP PKP yang ditetapkan sepanjang musim perayaan bagi mencegah penularan Covid-19.

Katanya, aktiviti ziarah sama sekali dilarang pada Aidilfitri kali ini dan mereka yang melanggar arahan itu boleh dikenakan tindakan kompaun.

“Terdapat beberapa sektor yang dibenarkan dilakukan sepanjang tempoh ini dan saya berharap semua rakyat dapat terus mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelak jangkitan virus dalam kalangan masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN