MELAKA: Seramai 3,612 calon penerima vaksin di negeri ini tidak menghadirkan diri untuk dos pertama manakala bagi dos kedua pula adalah 322 orang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, angka itu diperoleh daripada 15,367 janji temu yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan sehingga 25 Mei lalu.
Beliau berkata, rata-rata yang gagal hadir telah memberikan pelbagai sebab, namun Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Melaka tetap akan menerima kehadiran mereka, walaupun selepas tarikh yang ditetapkan.
“Data sehingga 25 Mei 2021, dari 15,637 janji temu untuk vaksin dos satu, seramai 3,612 penerima tidak hadir pada tarikh yang dijadualkan. Yang tidak hadir untuk dos kedua pula ialah 322 orang.
“Mereka tidak hadir atas pelbagai sebab. Namun demikian, pihak Kementerian Kesihatan tetap akan menerima mereka yang hadir selepas tarikh temu janji,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. -UTUSAN ONLINE










