PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 19 kes kematian akibat Covid-19 melibatkan 14 warga emas dan lima orang dewasa yang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya merekodkan lima kes di Sarawak, tiga kes di Johor, tiga kes di Selangor, dua kes di Kelantan, dua kes di Kuala Lumpur manakala Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu, masing-masing satu kes.
“Kesemua kes melibatkan 14 lelaki termasuk seorang warga asing dan lima wanita berusia antara 31 hingga 92 tahun dengan pelbagai latar belakang penyakit.
“Antara penyakit iaitu kencing manis, darah tinggi, jantung, meningioma, buah pinggang kronik, lymphoma, obesiti, dislipidemia, paru-paru obstruktif kronik, tuberkulosis, strok dan psoriatic arthritis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya juga merekodkan sedikit penurunan kes positif baharu Covid-19 iaitu 3,551 kes berbanding semalam iaitu 3,744 kes manakala kes sembuh iaitu 2,709 kes.
“Sebanyak 14 kluster direkodkan manakala kes aktif terus menunjukkan peningkatan iaitu 33,762 kes berbanding semalam 32,939 kes.
“Selain itu, sebanyak 354 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 199 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Beliau berkata, Selangor terus merekodkan kes tertinggi iaitu 1,137 kes diikuti Kuala Lumpur, 477 kes; Sarawak, 391 kes; Kelantan, 326 kes; Pulau Pinang, 305 kes; Johor, 258 kes; Perak, 137 kes dan Kedah, 112 kes.
“Baki negeri merekodkan kes dua angka angka iaitu Pahang, 97 kes; Melaka, 82 kes; Negeri Sembilan, 85 kes; Sabah, 69 kes; Terengganu, 58 kes dan Putrajaya, 12 kes.
“Hanya Perlis merekodkan tiga kes dan Labuan, dua kes,” katanya.
Mengulas mengenai 14 kluster, beliau berkata, ia melibatkan lapan kluster tempat kerja, dua kluster komuniti, dua kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan manakala kluster kumpulan berisiko tinggi dan kluster keagamaan, serta masing-masing satu kluster.
Lapan kluster tempat kerja katanya, Kluster Jalan Batu Arang di Gombak, Selangor, 15 kes; Kluster Industri Platinum di Kuala Selangor, Selangor, 10 kes serta Kluster Persiaran Meru Raya melibatkan Kinta dan Manjung, Perak, 14 kes dan Kluster Persiaran Greentown Tujuh melibatkan Kinta, Larut, Matang dan Selama, Perak, 11 kes.
“Empat lagi iaitu Kluster Jalan Temangan di Machang, Kelantan, sembilan kes; Kluster Jalan Pertama Empat di Johor Bahru, Johor, lapan kes serta Kluster Industri Lengkuk Teknologi melibatkan Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan, 64 kes dan Kluster Jalan Tunku melibatkan Kota Kinabalu, Papar, Putatan dan Penampang. Sabah, 10 kes.
“Kluster komuniti merekodkan dua kluster iaitu Kluster Kampung Chat di Pasir Mas, Kelantan, 17 kes dan Kluster Indera Mahkota Lima di Kuantan, Pahang, 18 kes,” katanya.- UTUSAN ONLINE










