PUTRAJAYA: Sebanyak 15 lokaliti yang berbeza seluruh negara bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak selama 14 hari mulai Jumaat ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya ialah Mukim Parit Buntar, Daerah Kerian, Perak setelah mencatatkan 44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di daerah itu.
Katanya, turut dikenakan PKPD yang berkuat kuasa dari 28 Mei sehingga 10 Jun depan ialah semua blok Pangsapuri Permai serta Blok C dan D, Pangsapuri Penara di Cheras, Kuala Lumpur.
Tidak ketinggalan ujarnya ialah Taman Dato’ Tengku Paris serta Felda Tersang 1, 2 dan 3 di Mukim Batu Talam, Daerah Raub, Pahang yang turut melibatkan sebuah kilang kelapa sawit.
“Juga dilaksanakan PKPD di Pahang ialah Mukim Perak dan Mukim Bangau dalam Daerah Temerloh setelah 180 kes positif direkodkan daripada 1,433 ujian saringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara di Sabah, tujuh lokaliti dikenakan arahan tersebut di Bahagian Tawau antaranya ialah Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik; Taman Desa Ranggu dan Taman Sawit Balung, manakala empat perkampungan di Daerah Kunak dalam bahagian sama yang melibatkan Kampung Kabog, Kampung Kabog Baru, Kampung Kunak Darat dan Kampung Kunak 3.
“Satu lagi lokaliti di negeri itu yang turut dikenakan PKPD ialah di Kampung Pirasan, Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat kerana peningkatan ketara dalam seminggu,” kata beliau.
Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa PKPD di Rumah Awam Kos Rendah Pelagat 3 di Daerah Besut, Terengganu dilanjutkan lagi selama tujuh hari bermula lusa sehingga 4 Jun kerana masih berlaku penularan wabak.
Bagaimanapun, ujar beliau, satu lokaliti ditamatkan PKPD pada esok seperti dijadualkan iaitu Kuarters Pekerja Lombong Sungai Batu, Batu Talam, Daerah Raub, Pahang ekoran penurunan trend kes baharu mula menunjukkan penurunan dan terkawal. -UTUSAN ONLINE










