13 lembu seludup dirampas - Utusan Malaysia

13 lembu seludup dirampas

SEBAHAGIAN daripada lembu seludup yang dirampas PGA Batalion 7 dalam serbuan di pangkalan haram Mek Gombak, Rantau Panjang. - UTUSAN/IHSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 13 ekor lembu seludup bernilai RM91,000 dipercayai untuk dijadikan bekalan daging mentah di negeri ini menjelang sambutan Aidilfitri.

Rampasan itu dilakukan hasil penugasan rutin Op Benteng Covid-19 di sekitar pangkalan haram Mek Gombak, di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintenden Azhari Nusi berkata, serbuan itu dilakukan pada pukul 10.30 malam hasil maklumat awal diterima pasukan Strike Force PGA Batalion 7.

Menurutnya, semasa melakukan penugasan, anggota PGA ternampak sekumpulan lelaki sedang mengheret beberapa ekor lembu di kawasan negara jiran menaiki perahu.

“Lembu-lembu tersebut dibawa menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke negara ini dan mendarat tidak jauh dari pangkalan haram Mek Gombak.

“Anggota kita bertindak mengekori kumpulan lelaki terbabit yang mengheret lembu-lembu ke dalam hutan berhampiran dipercayai untuk menyembunyikan kawanan haiwan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azhari memberitahu, kumpulan lelaki berkenaan melepaskan tali lembu dipegang masing-masing dan lari bertempiaran ke dalam hutan sejurus selepas menyedari kehadiran anggota PGA.

“Anggota PGA telah berusaha menjejak kumpulan lelaki tetapi gagal namun kita berjaya merampas sebanyak 13 ekor lembu seludup.

“Kes disiasat bawah Seksyen (11) (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia ( MAQIS ) 2011,” jelasnya.

Azhari berkata, menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, kumpulan penyeludup dijangka semakin aktif cuba membolosi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang semakin ketat oleh PGA Batalion 7 menerusi Op Benteng Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya