12 hospital jadi Hospital Hibrid Covid-19 - Utusan Malaysia

12 hospital jadi Hospital Hibrid Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 12 buah hospital di negeri ini beroperasi sebagai Hospital Hibrid Covid-19 bagi menampung keperluan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan berlaku sejak akhir April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, Hospital Hibrid Covid-19 terbabit khusus bagi memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

“Berdasarkan statistik terkini, seramai 49 orang pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital di negeri ini dengan 39 daripada pesakit ini memerlukan bantuan pernafasan.

“Kapasiti penggunaan katil ICU khusus Covid-19 meningkat sebanyak 114 peratus berbanding hanya 43 katil dikhususkan bagi Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Vidyananthan berkata, kerajaan negeri berdepan kekangan untuk pembukaan lebih banyak bilangan katil ICU Covid-19 berikutan faktor sumber manusia yang terhad.

Katanya, bilangan pesakit kritikal bukan Covid-19 juga dilaporkan agak tinggi dan mereka turut memerlukan rawatan rapi di ICU dalam masa yang sama.

Dalam pada itu, beliau berkata, berlaku peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan warga sekolah melibatkan guru dan pelajar sejak kebelakangan ini.

“Kebanyakan kes berpunca daripada penularan di dalam rumah ekoran aktiviti sosial keluarga, melibatkan ramai ahli keluarga dari jauh bertemu dan berkumpul.

“Kebanyakannya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan 3S iaitu ruang sempit, sesak dan sembang dekat. Masih ada keluarga yang mengadakan aktiviti sosial keluarga seperti berkumpul di pusat hiburan, kenduri kahwin dan aktiviti riadah yang lain secara berkumpulan,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan norma-norma baharu dan hendaklah mematuhi SOP bagi mengurangkan risiko penularan kalangan keluarga dan kenalan.

“Beban yang ditanggung oleh pihak Jabatan Kesihatan untuk menguruskan bilangan kes yang tinggi ini diharapkan dapat diringankan dengan kerjasama daripada masyarakat untuk memerangi Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.