fbpx

17 September 2021, 12:17 am

  TERKINI

Zahid khianati seluruh ahli UMNO jika perbualan telefon tulen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kebocoran perbualan telefon yang dipercayai di antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bukti jelas wujud perancangan bersama kedua-dua pemimpin itu jika ia dibuktikan sahih.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd. Fuad Tukirin berkata, ia jelas menunjukkan Ahmad Zahid menipu dan mengkhianati seluruh ahli UMNO dan segala apa yang diperkatakan dan diputuskan sama ada di dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mahu pun Perhimpunan Agung UMNO lalu adalah sandiwara semata-mata.

“Jika perbualan ini benar-benar sahih, ia sangatlah menyedihkan kepada kita semua selaku pendukung parti UMNO yang kita sayangi.

“Di belakang, ia telah melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Presiden parti ‘telunjuk lurus kelingking berkait’,” katanya di sini semalam.

Semalam, sebuah portal berita mendedahkan fail rakaman audio perbualan telefon yang tular di media sosial dan aplikasi perbualan dalam talian mengaitkan Ahmad Zahid dan Anwar.

Rakaman telefon itu dipercayai berlaku beberapa jam selepas ucapan penggulungan Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung UMNO mengumumkan mandat yang diperolehnya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan telefon itu yang menunjukkan dua pemimpin itu saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas UMNO bersetuju memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Mohd. Fuad berkata, pendedahan perbualan itu juga membuktikan Presiden sanggup mengadai maruah UMNO semata-mata demi kepentingan diri dan seluruh ahli parti ‘diperkudakan’ apabila wujud perjanjian yang dimeterai bersama Anwar.

Justeru, katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua ahli untuk memastikan kerja-kerja politik sebegini dihentikan.

“Kalau ahli UMNO senang-senang digantung dan diambil tindakan jika melakukan kesalahan, adakah Lembaga disiplin dan MKT tutup mata dan tidak mengambil apa-apa tindakan bagi menjaga nama baik Institusi Presiden UMNO?” soalnya. -UTUSAN ONLINE