Warga emas tinggal di pondok patut dapat tanah ganti - Utusan Malaysia

Warga emas tinggal di pondok patut dapat tanah ganti

HAMIDAH (kiri) melihat keadaan Muhammad Yusof Jidan yang tinggal di pondok setelah rumahnya yang dibina di atas tanah kerajaan dirobohkan pemaju di Kampung Sri Keramat dekat Pasir Puteh, Ipoh semalam. - UTUSAN/ ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Nasib seorang warga emas yang tinggal di sebuah pondok di Kampung Sri Keramat dekat Pasir Puteh di sini setelah rumahnya yang dibina di atas tanah kerajaan dirobohkan pemaju bakal terbela apabila mendapat perhatian daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman berkata, warga emas tersebut, Muhammad Yusof Jidan, 66, sepatutnya layak menerima tanah ganti seperti yang diterima penduduk lain di perkampungan setinggan itu mengikut apa yang dijanjikan pemaju.

Menurutnya, Putra akan membawa perkara tersebut kepada perhatian pihak berkuasa untuk diteliti semula bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas selain bimbang berlaku keciciran.

“Saya merasa sangat dukacita dengan apa yang menimpa warga emas tersebut kerana walaupun dia penghuni setinggan tetapi syarat-syarat perpindahan telah dinyatakan oleh pihak pemaju secara bertulis.

“Sekiranya nama warga emas itu tercicir dalam senarai penduduk yang layak menerima tanah ganti, maka pihak berkuasa pula perlu menyemak kembali perkara tersebut dan jika betul lakukan tindakan sewajarnya,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika menemui warga emas itu di sini semalam.

Menurut Hamidah, disebabkan Muhammad Yusof enggan berpindah ke tempat lain, Putra akan berikhtiar untuk membaiki beberapa bahagian pondok yang bocor agar dia dapat tinggal lebih selesa.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Muhammad Yusof menjadikan sebuah pondok buruk yang kelihatan seperti kandang kambing sebagai tempat berlindung setelah rumahnya yang dibina di atas tanah kerajaan di Kampung Sri Keramat dekat Pasir Puteh dirobohkan pemaju.

Muhammad Yusof yang hidup sebatang kara berkata, dia yang diusir pemaju hanya menerima pampasan sebanyak RM1,000 sahaja manakala tanah ganti yang sepatutnya diterima sepertimana penghuni lain tidak diketahui statusnya.

Kata Hamidah, adalah tidak masuk akal apabila pemaju hanya memberi RM1,000 kepada warga emas itu sebelum mengusirnya keluar kerana setiap penduduk sepatutnya menerima RM10,000 sebagai pampasan.

“Mengikut surat daripada Pentadbir Tanah Daerah Kinta yang diedarkan kepada penduduk pada tahun 2002 semasa projek tersebut dirancang, sepatutnya mereka yang diusir akan menerima wang pampasan sebanyak RM10,000.

“Ia bersamaan dengan RM30,000 jika mengambil kira nilai pada masa ini. Jadi, jika benar diberi sebanyak itu ia memang satu penganiayaan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya