PETALING JAYA: “Sesiapa yang mahu bertanding mesti demi kebaikan negara, bukannya untuk kepentingan diri.”
Demikian reaksi aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang ketika ditanya sama ada beliau bakal bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Chee Heng menjelaskan, beliau belum buat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak walaupun ada yang memintanya mempertaruhkan nasib untuk bergelar Yang Berhormat.
Menurutnya, beliau perlu membuat pertimbangan segala perkara sebelum mengambil ketetapan bertanding.
“Yang penting bagi sesiapa yang ingin menjadi calon termasuk saya, dia kena pentingkan dan menangkan rakyat terlebih dahulu dan bukannya diri sendiri,” katanya di sini semalam.
Chee Heng sebelum ini pernah menjadi calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2019, namun hanya meraih 725 undi dalam persaingan empat penjuru melibatkan wakil Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Sosialis Malaysia.
Ditanya kerusi bakal ditandingi sekiranya berminat, beliau tidak menolak kemungkinan Parlimen Puchong.
Jelasnya, masih terlalu awal untuk memutuskannya kerana perlu melihat corak politik negara yang sukar dijangka.
“Kalau negara berada dalam keadaan stabil, saya rasa tidak perlu bertanding. Jika negara berhadapan ketidaktentuan ekonomi dan sebagainya, saya mungkin akan bertanding.
“Tetapi tengok dahulu keadaan, rakyat sering tengok parti dan bukannya calon walaupun kita tawaran terbaik,” ujarnya.
Kerusi Parlimen Puchong disandang oleh Gobind Singh Deo daripada DAP sejak Mac 2008 dan dalam PRU-14 pada 2018, beliau menang dengan majoriti 47,635 undi. – UTUSAN ONLINE










