Tiga lelaki maut tersepit - Utusan Malaysia

Tiga lelaki maut tersepit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Klang Lama, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.49 pagi itu, mereka yang maut ialah G.Sharvinath, 21, J.Jordan Jackson,19, dan D.Hervinraj,16.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa dari arah Klang Lama menghala ke pusat bandar dipercayai hilang kawalan lalu melanggar batu penghadang jalan di sebelah kanan.

Disebabkan itu, kereta dinaiki kesemua mangsa berpusing ke sebelah kiri lalu merempuh sebatang pokok di kiri jalan.

“Ketiga-tiga mangsa meninggal di tempat kejadian dan perkara itu disahkan oleh pihak perubatan Hospital Kuala Lumpur.

“Mangsa dibawa ke forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulkefly, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 6.49 pagi tadi.

“Sebanyak 18 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dan BBP Pantai ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas lalu melanggar sebatang pokok,” katanya.

Tambah jurucakap itu, kemalangan tersebut mengakibatkan kereta terbabit remuk dan terputus kepada dua bahagian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya