TERENGGANU: Harga ayam di Dungun dijangka naik sehingga RM10 - Utusan Malaysia

TERENGGANU: Harga ayam di Dungun dijangka naik sehingga RM10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Harga ayam di daerah ini dijangka melambung sehingga RM10 sekilogram mulai minggu depan berikutan trend kenaikan yang berlaku hampir setiap hari ketika ini.

Rata-rata peniaga yang ditemui di Pasar Besar Dungun di sini bimbang harga baharu itu bakal menjejaskan lagi pendapatan mereka berikutan jualan ayam yang kurang mendapat sambutan pelanggan kebelakangan ini.

Shahul Hamid Maidin Alabeche, 64, berkata, hampir setiap minggu pembekal menaikkan harga barangan itu sekali gus menyebabkan mereka terpaksa mengenakan harga tinggi kepada pengguna.

Dia yang berpengalaman 20 tahun berniaga ayam berkata, untung yang diperoleh hasil jualan seekor ayam cuma RM1.40 tidak termasuk kos plastik, ais bagi penyimpanan, upah pekerja dan pengangkutan.

“Apabila harga naik, bekalan ayam yang diperoleh kebanyakannya bersaiz besar sehingga dua kilogram berbanding ketika harganya murah, kami sering mendapat saiz yang kecil.

“Faktor saiz yang besar di samping harga yang meningkat menyebabkan orang ramai kurang berminat membeli ayam berikutan harga yang mahal mencecah sehingga RM20 seekor,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagi peniaga daging, Mohd. Syamsul Bahrin Che Yusof, 32, walaupun harga barangan itu meningkat sebanyak RM2, namun jualannya masih mendapat permintaan tinggi dengan sehingga dua lembu sehari.

Dia tidak menolak kemungkinan harga daging lembu bakal melonjak kepada RM40 sekilogram sebelum Aidilfitri berbanding harga semasa, RM36 sekilogram ketika ini.

“Difahamkan harga makanan lembu meningkat sebanyak RM10 kepada RM54 untuk satu beg berbanding RM44 sebelum ini di samping kos-kos lain termasuk pengangkutan untuk penghantaran.

“Walaupun permintaan tinggi hakikatnya bekalan lembu tempatan sukar diperoleh menyebabkan saya dan peniaga lain terpaksa mengambil bekalan dari Johor, Pahang, Melaka dan Kedah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya