Tapir jantan mati dilanggar kenderaan berat - Utusan Malaysia

Tapir jantan mati dilanggar kenderaan berat

BANGKAI seekor tapir jantan ditemukan di Jalan Sedili - Tenggaroh dipercayai dilanggar kenderaan di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Bangkai seekor tapir jantan ditemukan di Jalan Sedili – Tenggaroh dipercayai akibat dilanggar kenderaan, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai penemuan bangkai itu pada pukul 10.40 pagi.

“Siasatan lanjut di lapangan mengesahkan seekor tapir jantan dewasa yang dianggarkan seberat 250 kilogram telah mati dipercayai akibat dilanggar oleh kenderaan berat.

“Ini kerana tiada sebarang serpihan kenderaan yang melanggar tapir tersebut dijumpai di lokasi kejadian.

“Kejadian disyaki berlaku pada sebelah malam atau awal pagi hari berkenaan. Ukuran morfologi bangkai tapir tersebut telah diambil sebelum dilupuskan secara ditanam di lokasi berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Salman berkata, kes tersebut merupakan kejadian kedua melibatkan haiwan itu yang mati dilanggar dalam tempoh kurang dua minggu di negeri ini pada tahun ini.

Katanya, kejadian pertama berlaku pada 27 Mac lalu melibatkan seekor tapir jantan yang mempunyai berat dianggarkan 300 kilogram di Jalan Mersing-Jemaluang berdekatan dengan Institut Latihan Perindustrian Mersing.

“Dalam kejadian tersebut juga tiada kenderaan yang terlibat dikesan di tempat kejadian.

“Untuk rekod sepanjang tahun lalu sebanyak tujuh kes tapir mati dilanggar telah direkodkan di negeri Johor dengan enam daripadanya berlaku pada Januari dan Februari,” katanya.

Tambah beliau, Perhilitan menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan lintasan hidupan liar yang kebanyakannya telah dipasang dengan papan-papan tanda amaran agar kejadian seperti itu tidak berulang.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya