Sudah lebih setahun kami tersisih kerana Covid-19 - Utusan Malaysia

Sudah lebih setahun kami tersisih kerana Covid-19

KAMARULZAMAN Ab. Wahab (kiri) meninjau keadaan warga emas yang menerima suntikan di Pasir Puteh, Kelantan. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Golongan warga emas yang mendaftarkan diri dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) teruja apabila menerima suntikan vaksin pertama sejak semalam.

Rata-rata mereka yang ditemui Utusan Malaysia berharap ancaman pandemik tersebut segera reda supaya semua orang dapat menjalani semula kehidupan normal terutama dapat bersama keluarga masing-masing.

Paling tidak, mereka berharap prosedur operasi standard (SOP) yang kebanyakannya seolah-olah ‘menyisihkan’ golongan warga emas dalam apa sahaja aktiviti cepat-cepat ditamatkan.

Abdul Ghani Jusoh, 71, dari bandar Pasir Puteh berkata, paling ditunggu-tunggu sejak lebih setahun lalu ialah untuk bertemu semula 31 cucu yang terpisah dengannya sejak virus tersebut menular di negara ini.

Selain itu katanya, dalam tempoh sama, warga emas berusia 60 tahun ke atas dilarang masuk ke pasar raya serta premis-premis lain selain tidak dibenarkan bergerak bebas di tempat awam.

“Bagi warga emas yang tidak ada anak atau cucu di sisi, kami terpaksa mendapatkan bantuan orang kampung untuk membeli barangan keperluan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sudah lebih setahun kami hidup tersisih begini.

“Dengan adanya suntikan vaksin, saya harap semuanya kembali menjadi normal,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan pertama sempena PICK di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Maritim Malaysia Kelantan di sini semalam.

Wan Khadijah Wan Khalid, 81, pula berkata, kesepian yang ditanggung warga emas diharapkan segera berakhir selepas program imunisasi vaksin Covid-19 dilaksanakan.

“Kami bagaikan tersisih apabila tidak dibenarkan solat berjemaah di masjid hanya kerana usia yang lanjut tanpa merujuk kepada status kesihatan semasa.

“Sebab itu semua warga emas perlu tampil mendaftar dengan PICK. Jangan terpengaruh dengan kumpulan antivaksin sehingga menyebabkan kita terperap di rumah, dihalang ke pasar dan masjid,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Jajahan, Mohd. Kamarulzaman Ab. Wahab yang meninjau proses vaksinasi tersebut berkata, seramai 120 warga emas di seluruh daerah ini menerima suntikan vaksin Sinovac semalam.

Setakat ini katanya, hanya 18,000 daripada 90,000 penduduk di Pasir Puteh yang berusia 60 tahun ke atas sudah mendaftarkan diri dengan PICK bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN