Segerakan vaksin guru - Utusan Malaysia

Segerakan vaksin guru

MOHD AZIZEE HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan pendidik wajar diberikan keutamaan bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 memandangkan mereka juga adalah barisan hadapan kerana berdepan dengan ramai murid di sekolah.

Malah, jika program vaksin kepada para guru diawalkan, jangkitan dalam kluster institusi pendidikan khususnya membabitkan sekolah-sekolah boleh dikurangkan selain masalah itu dapat diatasi dengan lebih cekap.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya telah mengesyorkan agar kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan mengutamakan warga guru untuk diberi vaksin Covid-19.

Katanya, pemberian vaksin juga perlu diperluas kepada guru-guru di sekolah agama rakyat, agama swasta, tahfiz dan sekolah agama negeri.

“Bagaimanapun, setakat ini Kementerian Pendidikan telah melakukan persiapan yang cukup rapi untuk berdepan dengan pembukaan sekolah secara keseluruhan.

“Selanjutnya, kementerian telah mengarahkan pihak sekolah dan guru-guru untuk membuat persiapan secukupnya di samping pematuhan kepada SOP serta Manual Pembukaan dan Pengoperasian Pembukaan Sekolah yang dibekalkan,” katanya

Beliau berkata, sekolah yang mempunyai ramai murid dan berada di kawasan berkepadatan tinggi atau kesesakan lalu lintas perlu kerjasama dengan bantuan dari pasukan beruniform seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

“Hal ini demikian dapat memastikan kelancaran pengoperasian, kehadiran dan penyuraian murid sebelum dan selepas waktu persekolahan.

“Ini juga membantu mengurangkan tahap kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan dan kesihatan anak- anak mereka,” katanya.

Tambah beliau, pihak sekolah perlu bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta agensi luar untuk melancarkan pergerakan murid ke sekolah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN