PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim konsisten di peringkat negeri tentang kerjasama parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain mengukuhkan hubungan dengan Pas.
Meskipun pendirian seperti itu dilihat tidak berapa popular dalam kalangan akar umbi, Shahidan diyakini mempunyai percaturan tersendiri bagi memastikan parti-parti Melayu Islam ini menyapu bersih keseluruhan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Persoalan kini, sediakah UMNO negeri atau Shahidan sendiri memberi ruang atau laluan kepada Bersatu di beberapa kerusi dalam PRU-15 selepas parti itu gagal memenangi satu kerusi pun dalam pilihan raya lalu.
Pada PRU-14, Bersatu yang bersama Pakatan Harapan (PH) ketika itu tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi iaitu Pauh, Guar Sanji, Mata Ayer, Tambun Tulang, Kayang selain Parlimen Arau dan Padang Besar.
Jika mengikut formula awal pembahagian kerusi, mana-mana parti yang mendapat undi kedua tertinggi diberi peluang bertanding dalam PRU-15 di Perlis, dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) paling mendapat kelebihan mengikut percaturan tersebut berbanding Pas dan jauh sekali Bersatu.
Namun dengan pendirian Shahidan yang mahu bekerjasama dengan Bersatu, mungkin soal pengagihan kerusi itu boleh berubah jika UMNO sedia memberi ruang kepada Bersatu.
Soalnya di manakah kerusi yang sesuai untuk diberikan kepada Bersatu. Jika di Arau, boleh dikatakan tiga kerusi DUN iaitu Pauh, Simpang Empat dan Tambun Tulang selain Parlimen di situ yang disandang Shahidan merupakan kubu kuat UMNO sejak sekian lama.
Di Padang Besar, pada PRU-14, BN menyapu bersih lima kerusi DUN iaitu Beseri, Mata Ayer, Titi Tinggi, Chuping dan Santan selain terus selesa mengekalkan Parlimen Padang Besar. Adakah BN sanggup mengorbankan salah satu kerusi tersebut kepada Bersatu?
Di Kangar menyaksikan BN dan Pas tewas di tiga kerusi DUN dan Parlimen di situ dalam PRU-14 iaitu masing-masing DUN Sena, Kuala Perlis, Indera Kayangan dengan mungkin salah satu atau dua boleh dipertimbangkan diberikan kepada Bersatu.
Apakah UMNO Perlis sanggup mengorbankan beberapa kerusi lain kepada Bersatu jika kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama?
Di samping itu, melihat kepada beberapa aspek termasuk dari segi kekuatan akar umbi, Bersatu dilihat masih kurang mendapat perhatian berbanding UMNO atau Pas yang cukup sinonim di negeri ini.
Namun, suasana mungkin boleh berubah jika Bersatu mempertaruhkan beberapa pemimpin yang mempunyai aura atau latar belakang cemerlang antaranya seperti Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan di negeri ini. Sebagai antara pemimpin kanan parti, kehadiran Wan Saiful di Perlis boleh memberi impak besar kepada Bersatu.
Di Perlis, suasana politik tidak begitu dinamik di mana sejak dahulu lagi rakyat memberi kepercayaan penuh kepada BN memerintah negeri ini.
Malah dalam PRU-15, BN juga dilihat tidak menghadapi masalah mengekalkan Perlis meskipun jika terpaksa berdepan pertembungan tiga penjuru. – UTUSAN ONLINE










