MELAKA: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM253,500 khusus bagi membantu 199 penggiat industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, bantuan secara sekali bayar (one-off) itu merangkumi pemberian RM1,000 kepada 120 pengusaha Agensi Kembara Pelancongan Negeri Melaka, RM2,000 kepada sembilan pengusaha inap desa dan RM1,500 kepada 67 pengusaha chalet bumiputera.
Beliau berkata, sebanyak RM5,000 turut disalurkan kepada Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Persatuan Hotel Malaysia Melaka (MAH) dan Persatuan Bajet Hotel Negeri Melaka (MyBHA).
“Kesemua bantuan one-off ini akan disalurkan terus ke dalam akaun penggiat industri pelancongan negeri Melaka. Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu penggiat industri pelancongan meneruskan kelangsungan perniagaan.
“Saya percaya, dengan segala inisiatif yang dirancang ini termasuklah kempen mempromosi Melaka, kita boleh mengangkat industri pelancongan ke tahap yang paling tinggi sekali gus mencapai sasaran 6.2 juta pelancong yang ditetapkan pada tahun ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan berkenaan di Hotel MITC di sini hari ini.
Sektor pelancongan merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka.
Pada tahun 2019, sektor itu telah menyumbang sebanyak 48 peratus kepada KDNK negeri dengan nilai pengeluaran berniai RM20.940 bilion.
Dalam pada itu, Sulaiman menambah, Melaka turut menyasarkan untuk menjadi negeri pertama pulih daripada Covid-19 dan kembali menjadi lokasi tumpuan pelancong sedikit masa lagi.
Jelasnya, sasaran itu bukan mustahil dicapai sekiranya 70 peratus rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin, lantas membolehkan pintu sempadan negeri dibuka.
“Alhamdulillah, kita telah mencapai sasaran bagi tahun 2020 dan ini memberikan cabaran yang besar kepada penggiat industri pelancongan kita, iaitu Melaka bergantung 70 peratus daripada kedatangan pelancong domestik pada tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









