fbpx

Putra cari penyelesaian isu tanah rizab Melayu

HAMIDAH OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kongres Kembalikan Hak Yang Hilang anjuran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak di Hotel Tower Regency, Ipoh hari ini akan mencari penyelesaian jitu terhadap isu tanah rizab Melayu yang semakin hilang.

Pengerusi Putra Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, Putra serius mencari penyelesaian kepada isu tersebut agar tanah rizab Melayu (TRM) yang menjadi lambang kedaulatan dan keistimewaan Me­layu terus terpelihara.

Menurut beliau, antara inti pati kongres ialah memastikan tanah rizab Melayu perlu dikembalikan kepada nisbah 50 peratus seperti mana yang diwasiatkan Raja-Raja Melayu sejak tahun 1957.

“Pada kongres esok, kita akan mencari penyelesaian kepada isu ini dan mengemukakan beberapa tuntutan dalam memelihara keluasan dan nisbah tanah rizab Melayu di negeri dan seluruh negara.

“Antara tuntutan kita termasuklah tanah rizab Melayu yang telah dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah, perlu dibatalkan pendaftaran hak miliknya.

“Tanah-tanah ini perlu dikembalikan kepada pihak berkuasa negeri. Kita melihat tuntutan ini sebagai antara jalan berkesan untuk mengambil semula tanah rizab Melayu yang sudah dipindah milik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Hamidah, resolusi lain yang dijangka dapat mengatasi isu tanah rizab Melayu ialah peranan kerajaan negeri sendiri yang perlu serius dalam isu ini.

“Kerajaan negeri perlu mempertingkatkan usaha bagi memastikan peratusan rizab tanah Melayu mencapai 50 peratus daripada keluasan tanah di Pe­rak.

“Selain itu, pembangunan tanah rizab Melayu hendaklah dijadikan agenda penting kerajaan bagi menjana ekonomi dan meningkatkan taraf hidup orang Melayu,” katanya.

Hamidah berkata, resolusi yang dicapai dalam kongres itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kerana ia melibatkan kepentingan orang Melayu .

“Kita juga akan memaklumkan resolusi daripada kongres ini kepada Menteri Besar agar beliau dapat memberikan perhatian yang serius,” katanya.

Katanya, kongres itu juga membuktikan Putra serius dalam isu tanah rizab Melayu selepas beliau mendedahkan berlaku penyelewengan terhadap 641 hektar tanah rizab Melayu di Manjung.

“Bagi kes berkenaan, saya harap ada penyelesaiannya agar hak orang Melayu dikembalikan kepada kerajaan negeri apatah lagi perkara ini sudah dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Kongres akan disertai oleh beberapa ahli panel terkemuka antaranya Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan, Nordin Abdul Malek; peguam, Norazura Mohd. Mokhtar dan Naib Presiden Putra, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Tahir.

Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali dijadual merasmikan majlis penutupan kongres tersebut.- UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI