PN lembap, harus berhenti monopoli penyediaan vaksin Covid-19 - Anwar - Utusan Malaysia

PN lembap, harus berhenti monopoli penyediaan vaksin Covid-19 – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelembapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyediakan vaksin Covid-19 untuk rakyat Malaysia akan membawa kemudaratan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sepatutnya memberi fokus menyediakan vaksin Covid-19 secepat mungkin serta beri sokongan kepada pihak lain yang terbuka untuk membeli sendiri vaksin.

“Saya amat terganggu dengan sikap pihak atasan kementerian yang ternyata begitu lembab. Matlamat kerajaan pusat sayugianya adalah memastikan seluruh rakyat Malaysia memperoleh vaksin yang selamat dan berkesan dengan segera mungkin.

“Kerajaan Pusat tidak perlulah menguruskan semuanya, daripada membeli sehinggalah menyuntik setiap dos. Ini kerana setiap kerajaan negeri memiliki jaringan dan kemampuan tersendiri untuk memperoleh vaksin yang barangkali mengatasi keupayaan kerajaan Pusat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Menyentuh hal itu, Anwar berkata, Kerajaan Negeri Selangor terpaksa menunggu berbulan lamanya hanya untuk mendapatkan kelulusan diperlukan, meskipun negeri itu telah memperuntukkan dana sendiri untuk mendapatkan dua juta dos buat rakyat Selangor.

Senasib dengan Selangor, kerajaan negeri Sarawak turut menghadapi nasib yang sama dalam mendapatkan kelulusan daripada kerajaan persekutuan.

“Saya turut mendapat aduan daripada beberapa syarikat swasta dan yayasan bahawa permintaan dan usaha mereka untuk mendapatkan vaksin tidak dihiraukan sama sekali.

“Sementara menteri yang bertanggungjawab telah menyalahkan negara-negara kaya kerana memonopoli pasaran, sekali gus mengehadkan akses Malaysia terhadap bekalan vaksin,”

Anwar yang juga ketua komponen pembangkang turut mempertikaikan mengenai ketibaan vaksin Covid-19 jenis Sinoppharm yang masih tidak didedahkan mengenai kelulusannya.

“Turut dilaporkan bahawa vaksin Sinopharm dijangka tiba Mei nanti, namun sehingga Mac kita belum pasti sama ada kelulusan telah diberikan, sekali gus menambah timbunan masalah yang menanti penyelesaian.

“Setakat hari ini kurang daripada tiga peratus rakyat Malaysia yang telah mendapat suntikan vaksin untuk melawan Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN