Pertelingkahan UMNO-Bersatu akibat rampasan kuasa - Utusan Malaysia

Pertelingkahan UMNO-Bersatu akibat rampasan kuasa

JIMMY Puah Wee Tse (tiga kiri) dan Sheikh Umar Bagharib Ali (dua kanan) ketika menyertai sesi flash mob mendesak kerajaan menamatkan darurat di Taman Pelangi, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perebutan kuasa politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini dilihat sebagai kesan daripada tindakan kedua-dua parti itu yang menjalin kerjasama bagi merampas kuasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebelum ini.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kini rakyat yang terpaksa menerima kesan negatif daripada kegagalan mereka mentadbir negara dengan baik.

“Bagi saya, pertelingkahan mereka tidak lebih daripada sandiwara, jika mereka betul-betul berhasrat untuk menyelesaikan masalah, sudah lama ia diselesaikan.

“Situasi ketika ini hanya membuktikan gabungan mereka dahulu hanyalah untuk kepentingan kuasa politik masing-masing,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri ‘flash mob’ bagi mendesak pembukaan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambah Jimmy Puah, jika pertelingkahan antara UMNO dan Bersatu tidak berlaku, pihaknya yakin kerajaan akan dapat menangani isu pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan.

“Sejak bermula Langkah Sheraton lalu, senario politik Malaysia sudah mundur dua tapak ke belakang dan kini kita terpaksa mengisytihar darurat pula,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali pula mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini yang menggunakan Ordinan Darurat bagi menangani pandemik Covid-19.

“Ordinan ini membenarkan kerajaan menambah perbelanjaan tanpa perlu mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat atau DUN.

“Tanpa persidangan Parlimen dan DUN, tiada proses semak dan imbang berlaku dan ini hanya akan menimbulkan pelbagai persoalan bagaimana peruntukan tambahan itu dibelanjakan.

“Jadi saya ingin bertanya adakah penambahan perbelanjaan ini bermotif politik, adakah ia bertujuan ‘membeli’ sokongan kepada PN di pelbagai peringkat dengan menggunakan wang,” soalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya