HULU TERENGGANU: Anak negeri yang meraih tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR) baru-baru ini, Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, hampir berputus asa untuk meneruskan pengajiannya berikutan subjek yang terlalu susah.
Nurul Fatin Nabihah yang merupakan penuntut perakaunan di Kolej Pendidikan Intec berkata, dia pernah gagal ujian tahap satu dan dua bagi persediaan SBR di samping dua lagi ujian bagi kertas Advance Taxation (ATX).
Katanya, skala kesukaran kedua-dua kertas berkenaan turut menyebabkan dia sering menangis kerana prestasi yang tidak memuaskan setiap kali ujian.
“Daripada keseluruhan empat ujian itu semuanya saya gagal dengan markah antara 20 ke 30 markah sahaja, tetapi, saya bersyukur kerana berjaya lulus pada peperiksaan akhir apabila mendapat 88 markah untuk SBR manakala 54 markah (ATX), sekurangnya-kurangnya tidak perlu mengulangi kertas berkenaan.
“Keputusan peperiksaan diketahui pada 12 April lalu disusuli ranking pula empat hari kemudian dan saya langsung tidak menjangka diberikan rezeki besar sebegini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kejayaan pelajar dari Kampung Tengkawang itu di samping Siti Naziah Mohamad Nazid, 21, mengharumkan nama negara dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, Nurul Fatin Nabihah berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk menambahkan kefahaman pada kedua-dua kertas SBR dan ATX termasuk amalan mengulangkaji pelajaran pada awal pagi dari pukul 4 hingga 6 pagi, setiap hari.
Malah, penerima tajaan Yayasan Sime Darby di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu turut menonton video-video di YouTube.
“Terima kasih atas ucapan Tuanku dan rakyat Malaysia, Insya-Allah, saya akan gunakan kejayaan ini untuk menyumbang semula kepada masyarakat satu hari nanti,” katanya yang bakal menduduki peperiksaan kertas terakhir ACCA pada September depan.- UTUSAN ONLINE










