Peniaga terbeban, pemborong 'berkeras' kekal harga lama - Utusan Malaysia

Peniaga terbeban, pemborong ‘berkeras’ kekal harga lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebilangan besar peniaga ayam di pasar awam dan gerai negeri ini tertekan dengan tindakan pihak pemborong yang didakwa masih ‘berkeras’ mahu mengekalkan harga asal bagi sekilogram ayam standard antara RM8.10 hingga RM8.50 hari ini.

Situasi berikut menambah bebanan buat peniaga apatah lagi dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang akan dikuatkuasakan lebih awal serta dalam tempoh lebih panjang bermula hari ini hingga 20 Mei depan.

Rata-rata peniaga yang ditemui Utusan Malaysia di sini semalam menegaskan tidak bersetuju dengan penguatkuasaan skim harga maksimum tersebut yang dianggap terlalu lama dan pertama kali dalam sejarah.

Berbanding sebelum ini, pelaksanannya hanya mengambil masa selama 15 hari iaitu seminggu sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan.

Seorang peniaga ayam yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, 48, berkata, dia buntu memikirkan nasibnya selepas ini sedangkan isu kenaikan harga ayam daripada peringkat penternak dan pemborong masih belum selesai.

“Esok (hari ini) harga ayam standard yang siap diproses ditetapkan pada harga RM7.90 sekilogram. Kami memang terpaksa akur dengan harga jualan tersebut dan bertahan selama 30 hari ini.

“Bagaimanapun, hari ini timbul pula masalah apabila pihak pemborong belum bersedia mengguna pakai harga kawalan iaitu RM7.10 sekilogram dan mahu mengekalkan harga terkini ayam pada harga RM8.10.

“Pemborong mengatakan yang mereka memperoleh harga ayam hidup sekitar RM5.80 sekilogram daripada penternak dan itu belum lagi dibuang organ dalaman,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, pemborong mendakwa turut berdepan kerugian kira-kira 750 gram ayam daripada sekilogram yang diperoleh daripada penternak setelah siap proses pembuangan organ dalaman.

“Masalah utama berpunca di peringkat penternak. Mereka memberi pelbagai alasan termasuk harga dedak yang tinggi. Pemborong akan turun harga ayam sekiranya penternak jual pada kadar yang rendah.

“Berikutan skim harga maksimum yang akan dikuatkuasakan esok, saya terpaksa meminta dua daripada enam pekerja sedia ada mengambil cuti atau rehat sementara waktu disebabkan berdepan dengan masalah pembayaran gaji ekoran masalah yang berbangkit.

“Bayangkan, skim ini dilaksanakan dalam tempoh yang lama kali ini, kami peniaga yang akan terkesan dengan harga kawalan yang ditetapkan sedangkan kami perlu membayar sewa gerai, gaji pekerja, kos beg plastik yang naik serta pengurusan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga yang juga mahu dikenali sebagai Ahmad, 51, memberitahu, dia terpaksa mengehadkan ayam dijual mulai esok ekoran pelaksanaan skim kawalan harga maksimum dengan tempoh lama.

“Kami berniaga secara kecil-kecilan di pasar awam dan harga yang ditetapkan pihak berkuasa akan memberi kesan langsung kepada peniaga terutama yang menggaji pekerja.

“Sebelum ini, setiap pekerja menerima gaji harian sebanyak RM50. Ekoran pelaksanaan skim ini, hampir sebilangan besar jumlah pendapatan harian digunakan untuk membayar gaji termasuk kos pengurusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga ikan, Shahrul pula berkata, dia membuat keputusan untuk tidak menjual ikan kembung buat sementara waktu berikutan harga dan saiz yang diperoleh daripada pemborong ketika ini tidak bersesuaian dengan penguatkuasaan harga kawalan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Ketika ini, ikan kembung yang didatangkan dengan saiz besar dijual pihak pemborong pada harga RM15 sekilogram dan kami pula menjual RM18 sekilogram kepada pelanggan.

“Saiznya yang tidak menentu dan berat tujuh hingga 10 ekor ikan lebih daripada sekilogram, memang tidak dapat jual bimbang akan dikenakan tindakan pihak berkuasa,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.