PETALING JAYA: Walaupun amaran diberi dan notis dikeluarkan, masih terdapat pemborong atau pembekal serta peniaga di seluruh negara yang tetap berdegil dengan menaikkan harga ayam antara 30 sen hingga 50 sen.
Situasi ini menambah kebimbangan rakyat yang terbeban sekali lagi dengan peningkatan harga runcit barangan ketika Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Di Johor, biarpun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengeluarkan sebanyak 26 notis terhadap 20 peniaga runcit dan enam pemborong ayam, harga ayam tetap meningkat.
Harga ayam segar di Pasar Awam Johor Bahru meningkat lagi kepada RM9.60 sekilogram mulai hari ini selepas para peniaga dimaklumkan perkara itu oleh pembekal sejak kelmarin.
Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Awam Larkin Sentral, Abdullah Idris, 59, berkata, perubahan harga itu sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 40 sen di pasar terbabit berbanding RM9.20 setakat ini.
“Pembekal memaklumkan kenaikan harga itu sejak semalam (kelmarin) lagi. Alasan diberikan mereka adalah bahan makanan haiwan itu sudah meningkat. Dalam tempoh sebulan ini sahaja, harga ayam standard sudah naik sebanyak empat kali.
“Tidak dinafikan terdapat rungutan daripada pembeli namun kami juga tersepit dan tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Larkin di sini, semalam.
Di Negeri Sembilan, harga ayam bersih standard semalam mencecah paras harga sebanyak RM9.80 bagi sekilogram.
Menerusi aplikasi Price Catcher PDNHEP, harga tersebut dicatatkan di Pasar Besar Tampin.
Sementara itu, di empat buah pasar awam utama di negeri ini, harga ayam bersih standard dicatatkan dalam lingkungan RM9 sehingga RM9.50 sekilogram.
Dalam tinjauan Mingguan Malaysia di Pasar Besar Seremban kelmarin, harga ayam mencecah RM10 sekilogram dan menurut peniaga ia ekoran pembekal dan peladang meletakkan harga yang agak tinggi.
Di Kedah, kebanyakan peniaga ayam di negeri ini menjual ayam proses pada harga antara RM9.50 sehingga RM10 sekilogram selepas pemborong menaikkan harga bekalan ayam sebanyak 30 sen hingga 50 sen sekilogram.
Malah peniaga terbabit tidak menolak kemungkinan harga ayam di negeri ini boleh mencecah RM12 sekilogram pada Ramadan ini.
Di Perlis, kenaikan harga ayam yang berterusan khususnya sepanjang Ramadan terus memberi kesan kepada para peniaga yang terpaksa mengeluarkan lebih modal setiap hari.
Seorang peniaga Shawarma, Sharifuldin Hashim, 38, berkata, harga ayam semalam didapati masih sekitar RM8.30 hingga RM8.50 sekilogram.
Manakala, katanya, harga ayam bagi bahagian dada pula meningkat daripada RM8.80 sehingga RM9.80 sekilogram sekali gus mengalami kenaikan mencecah RM1.
Di Kelantan, tinjauan di beberapa lokasi di negeri ini mendapati rata-rata pelanggan mengeluh apabila harga ayam mula mencecah RM8.50 sekilogram, berbanding RM7 hingga RM7.50 sebelum Ramadan.
Seorang pengguna, Basir Awang Lah, 47, meminta kerajaan memantau kenaikan harga ayam yang terlalu ketara selain tidak seragam, seolah-olah tidak dikawal oleh mana-mana pihak berkuasa.
Di Perak, harga ayam standard di Pasar Awam Teluk Intan dan Pasar Awam Hutan Melintang didapati mula mencatat kenaikan sehingga RM10 sekilogram semalam berbanding harga yang dijual dua hari lalu. – UTUSAN ONLINE











