Pelatih Orang Asli 'diburu' Senoi Praaq - Utusan Malaysia

Pelatih Orang Asli ‘diburu’ Senoi Praaq

ROSMAN Kasman (kanan) melekatkan lencana bahu BN 3 PGA pada seorang anggota baharu Senoi Praaq di kem pasukan itu di Bidor, Perak. - UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pendekatan masuk ke kawasan perkampungan Orang Asli di pedalaman dilakukan sebagai inisiatif bagi mencari belia-belia pribumi yang mahir dalam ilmu hutan dan menjejak untuk menyertai Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq kerana kepakaran itu sangat diperlukan.

Cara tersebut dilihat berkesan apabila Senoi Praaq dapat bersemuka terus dengan belia-belia masyarakat Orang Asli di pedalaman yang berminat tetapi kurang maklumat disebabkan faktor perhubungan terbatas.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (BN 3 PGA) Senoi Praaq, Superintenden Rosman Kasman berkata, melalui promosi yang dilakukan pasukannya di perkampungan Orang Asli mendapati, minat dalam kalangan belia pedalaman untuk menyertai PGA Senoi Praaq sangat tinggi.

Katanya, penyertaan belia-belia Orang Asli yang mahir dalam ilmu-ilmu hutan penting bagi mengekalkan kebolehan pasukan Senoi Praaq yang dikenali sebagai penjejak rimba mahir dan berani.

“Promosi pengambilan ini kita lakukan pada program ziarah melawat pesara-pesara Senoi Praaq yang tinggal di kampung-kampung tradisional seperti di Cameron Highland, Pos Kemar (Gerik), Pos Gob (Gua Musang) dan di Bahau (Negeri Sembilan).

“Belia-belia pedalaman ini masih pergi memburu di hutan dan biasa dengan selok belok selain mahir menjejak. Kemahiran hutan mereka ini sangat berharga dan perlu dimanfaatkan, jadi kita akan mempermudahkan mereka untuk menyertai Senoi Praaq mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Sebelum ini pengambilan pelatih Senoi Praaq bertumpu di kampung-kampung besar, jadi kita membantu pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan kebenaran daripada Unit Pengambilan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perbarisan Hari Polis ke-214 Peringkat BN 3 PGA dan Pemakaian Lencana Lengan di Kem PGA Bidor di sini.

Dalam upacara tersebut, seramai 27 anggota Senoi Praaq yang baru menamatkan latihan kepolisan dipakaikan lencana lengan BN 3 PGA sekali gus melayakkan mereka digelar sebagai Orang Perang.

Dalam pada itu, kata Rosman, Senoi Praaq mahu mendapatkan pelatih-pelatih dalam kalangan suku kaum Orang Asli lain misalnya etnik Bateq yang penyertaan mereka dalam pasukan tersebut kecil agar kepelbagaian kemahiran dapat dikongsi serta dipelajari oleh anggota-anggota lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya