NUTP gesa sekolah di Kelantan, kawasan berisiko penularan Covid-19 ditutup - Utusan Malaysia

NUTP gesa sekolah di Kelantan, kawasan berisiko penularan Covid-19 ditutup

AMINUDDIN Awang (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Pek Pemula YES NUTP dengan kerjasama Yayasan YTL dan penyedia telekomunikasi YES di Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa kerajaan mengambil langkah segera menutup sekolah di Kelantan selepas beberapa daerah di negeri itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam masa sama Presidennya, Aminuddin Awang turut menggesa langkah penutupan sekolah turut diambil di kawasan-kawasan yang disifatkan berisiko berlakunya penularan Covid-19.

Menurutnya, NUTP bimbang jika langkah segera dan proaktif tidak diambil, ini akan mendedahkan pelajar dan guru kepada risiko dijangkiti wabak tersebut.

“Kita menyeru kerajaan mengambil langkah cepat menutup sekolah jika mendapati ada kemungkinan risiko penularan Covid-19 di sesebuah kawasan di seluruh negara bagi mengelak risiko jangkitan kepada murid dan guru,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis pelancaran Pek Pemula YES NUTP dengan kerjasama Yayasan YTL dan penyedia telekomunikasi YES di sini hari ini.

Menerusi kerjasama itu, kira-kira 230,000 ahli NUTP akan menerima kad sim YES percuma dengan data 40 gigabait (GB) yang akan dihantar terus ke rumah mereka bagi tujuan melaksana pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurut Aminuddin, para guru perlu bersedia sekiranya kerajaan mengambil langkah menutup sekolah sekali lagi bagi mencegah penularan Covid-19.

Untuk itu katanya, kerjasama dengan Yayasan YTL serta YES dapat menyokong kepada PdPR jika kaedah tersebut perlu dilaksanakan semula.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa kerajaan menyegerakan pemberian vaksin kepada golongan guru dan pensyarah.

Jelas beliau, NUTP kecewa kerana golongan berkenaan tidak dikategorikan sebagai barisan hadapan untuk menerima vaksin berkenaan dalam fasa satu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sedangkan golongan ini sangat berisiko dan terdedah kerana kita tidak tahu situasi murid-murid yang bebas ke mana-mana sahaja dan mungkin dijangkiti tetapi tidak menunjukkan gejala seperti demam yang akhirnya akan menyebarkan wabak itu di sekolah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya