Najib tak kemuka laporan pakar sangkal tanda tangan - Utusan Malaysia

Najib tak kemuka laporan pakar sangkal tanda tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas enam hari berhujah, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram menamatkan hujahan balas mereka terhadap rayuan yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkannya dengan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Beliau turut merayu terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali atas kesalahan tersebut.

Selasa depan, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan membuat hujahan semula. Mahkamah menetapkan dua hari untuk beliau berbuat demikian namun ketika ditemui media, peguam terbabit memaklumkan pihaknya mungkin akan mengambil masa tiga hari.

Sebelum ini, Muhammad Shafee turut mengambil masa enam hari untuk mengemukakan hujah bagi rayuan anak guamnya itu.

Terdahulu, Sithambaram memberitahu, hakim bicara tidak terkhilaf apabila menerima masuk dokumen-dokumen yang didakwa sebalai palsu oleh pihak pembelaan.

Ujarnya, perayu (Najib) dalam keterangannya memberitahu bahawa beliau meragui ketulenan tandatangannya dalam beberapa dokumen-dokumen termasuk akaun bank namun tiada sebarang keterangan atau bukti daripada pakar dikemukakan bagi menyokong dakwaan tersebut.

“Perayu dengan rela tidak memberi jawapan terhadap soalan yang memintanya mengesahkan tandatangannya kerana meragui ketulenan dokumen terbabit sehingga ketulenan itu disahkan oleh pakar. Bagaimanapun, perayu gagal mengemukakan sebarang laporan bagi menyangkal ketulenan dokumen-dokumen terbabit.

“Sekiranya perayu berjaya mengemukakan laporan pakar itu, berkemungkinan beliau boleh menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan. Perayu membantah kemasukan dokumen-dokumen terbabit sebagai bukti adalah kerana ia mengandungi kebenaran yang akan membongkarkan pembohongannya,”ujar Sithambaram.

Terdahulu, Sithambaram menyatakan dakwaan-dakwaan bahawa Hakim Mohd. Nazlan berat sebelah dengan memihak kepada pendakwaan, bertindak seperti `pendakwaan kedua’ dan `hopelessly incompetent’ adalah satu tuduhan yang serius.

“Pembelaan turut menyerang penghakiman yang ditulis oleh hakim bicara di akhir kes pendakwaan yang memutuskan terdapatnya prima facie dibuat dengan tidak mengikut lunas undang-undang kerana selepas penghakiman dibuat, hakim tidak boleh membuat penambahan terhadap penghakiman itu.

“Kami telah menunjukkan bahawa hakim bicara mempunyai hak untuk berbuat demikian memandangkan penghakiman di akhir kes pendakwaan bukanlah penghakiman akhir. Apa yang hakim bicara lakukan tidak bertentangan dengan undang-undang dan dibuat dalam ruang lingkup undang-undang. Pemahaman hakim bicara terhadap undang-undang adalah jelas,”ujarnya.

Rayuan yang didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai, Hakim Datuk Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Vazeer bersambung Selasa ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya