fbpx

16 September 2021, 11:30 pm

  TERKINI

Muda tolak kerjasama PKR, UMNO

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menolak usaha pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalinkan kerjasama pintu belakang dengan seterunya sejak sekian lama iaitu UMNO.

Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau lebih rela partinya kekal di blok pembangkang dari menyertai penjajaran sedemikian, meskipun jika gabungan UMNO-PKR berjaya membentuk kerajaan pada masa akan datang.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Parlimen Muar berusia 29 tahun itu menegaskan, meskipun beliau menyokong pergerakan mengangkat Anwar menjadi Perdana Menteri, ia haruslah dibuat secara berprinsip dan tidak menggadaikan pegangan sehingga tergamak bekerjasama dengan individu yang digelarnya sebagai ‘kleptokrat’.

Beliau mendakwa, hal ini kerana UMNO tidak terbuka melakukan reformasi terutama dari segi rasuah serta penghapusan pemusatan kuasa, dan ini mendorong beliau untuk menegur Anwar dalam perkara ini.

“Tidak perlu kita berselindung (soal perjanjian pintu belakang), bukan saya sahaja yang cakap malah Anwar pun cakap. Surat yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ke istana itu betul. Sampai sekarang semua tahu itu betul.

“Jadi pendirian saya, saya masih dalam blok pembangkang. Saya tidak ada masalah sokong Anwar, dasar-dasar pembaharuannya saya sokong. Tetapi berkenaan kerjasama politik, kalau tiba-tiba dia kata “Saddiq, sertai kerajaan bersama Zahid dan Najib”, saya akan kata, tidak mengapa dan saya akan tolak.

“Jadi, kita kena lawan kleptokrasi, itu jelas dan itu saya tidak akan berkompromi. Sebab itu, apabila saya tegur Anwar bab ini, saya tegur, dan tidak salah untuk tegur,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau adalah hipokrit terbesar seandainya membawa Muda menyertai penjajaran UMNO-PKR, dan menegaskan parti baharu itu akan komited memperkasa agenda reformasi dan membaik pulih sosioekonomi rakyat, meskipun terpaksa bergerak sendirian sebagai parti pembangkang.

Hal ini, katanya kerana Muda melihat dalam keadaan negara diserang pandemik, rakyat sudah muak dengan permainan politik yang tidak henti-henti, sebaliknya apa yang dimahukan rakyat ialah pemimpin yang membela nasib mereka, di samping komited mewujudkan semak imbang kepada kerajaan. -UTUSAN ONLINE