Mercy Malaysia bantu tingkat kesedaran vaksinasi - Utusan Malaysia

Mercy Malaysia bantu tingkat kesedaran vaksinasi

AHMAD FAIZAL MOHD. PERDAUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sukarelawan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) sedang giat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd. Perdaus berkata, secara keseluruhannya ia akan melibatkan 7,000 sukarelawan yang terdiri daripada dua kumpulan.

Kumpulan pertama merupakan sukarelawan yang mempunyai latar belakang perubatan dan kesihatan serta kumpulan yang tidak mempunyai latar belakang dalam kedua-dua bidang tersebut.

Menurutnya, penglibatan kedua-duanya sama penting dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat di pelbagai peringkat termasuklah di Sabah dan Sarawak mengenai kepentingan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

“Di sinilah kita memerlukan individu daripada pelbagai latar belakang, tidak semestinya doktor dan jururawat sebab kadang kala bahasa yang kita nak gunakan untuk sampai kepada masyarakat yang terpinggir terutamanya perlu bahasa yang lebih mudah difahami.

“Program vaksinansi ini bukan hanya menjadi cabaran di Malaysia, ada sesetengah tempat masih sangat rendah untuk kadar pendaftaran program vaksinasi. Kita akan cuba bantu pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam usaha ‘mengarusperdanakan’ maklumat dan kesedaran keperluan vaksinasi Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-18 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (Sidang Pertama) di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini hari ini.

Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan menyempurnakan majlis tersebut.

Baginda turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Perubatan kepada Dr. Ahmad Faizal.

Sementara itu, Dr. Ahmad Faizal berkata, sejak Februari tahun lalu iaitu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, Mercy Malaysia telah mengambil keputusan untuk menumpukan sebahagian besar usaha bantuan di dalam negara.

“Sepanjang setahun lebih ini, Mercy Malaysia telah menyumbangkan sekitar RM45 juta dalam bentuan bantuan fizikal ataupun barangan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE) alat penafasan dan sebagainya.

“Mercy Malaysia masih meneruskan program bantuan di negara lain seperti di Myanmar, Bangladesh, Syria dan Yaman walaupun ada kengkangan disebabkan pendemik Covid-19,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya