GEORGETOWN: Ramadan tidak memberi sebarang momen bahagia buat seorang gelandangan warga emas di sini apabila mendakwa diabaikan anak-anaknya selepas kematian isteri akibat kanser hati, enam tahun lalu.
Dakwa bapa kepada tiga cahaya mata yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 63, sambutan Ramadan tahun ini adalah kali kedua buatnya terpaksa berteduh sementara di kaki lima berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sejak Mei tahun lalu.
Katanya, dia mengambil keputusan meninggalkan rumah sewanya di Ipoh, Perak tahun lalu disebabkan terlalu berkecil hati dengan perbuatan anak-anak yang didakwa langsung tidak mempedulikannya termasuk menjenguk arwah isterinya ketika masih hidup.
“Bapa mana yang tidak rindukan anak-anaknya apatah lagi yang diasuh, dijaga sejak lahir serta menguruskan perkahwinan mereka. Saya pasrah dengan apa yang berlaku setelah masing-masing membawa haluan sendiri sejak tiga tahun lalu.
“Saya mengambil keputusan meninggalkan rumah yang menyimpan banyak kenangan berharga kami sekeluarga pada tahun lalu disebabkan sedih mengenangkan perkara yang berlaku.
“Mereka tahu saya di sini tetapi langsung tiada satu kelibat mahupun usaha untuk datang menjenguk apatah lagi dekat bulan bulan Ramadan. Ini merupakan Ramadan kali kedua saya tinggal di sini,” katanya kepada Utusan Malaysi, di sini semalam.
Din yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kontrak itu memberitahu, sehingga kini dia masih tidak dapat melupakan kenangan bersama arwah isterinya setelah mendirikan rumah tangga pada 1986.
“Saya masih terkenang apa yang anak-anak buat semasa arwah isteri sedang sakit. Hendak menghulurkan wang untuk beli ubat atau lampin pakai buang pun payah. Sayalah yang berkorban demi keselesaan isteri ketika itu.
“Jika mereka rindukan bapa, datanglah cari saya, bukan saya yang pergi dekat mereka. Sebagai manusia, saya memang memaafkan mereka tetapi kesan daripada apa yang mereka lakukan masih terpahat sehingga kini.
“Memang rindu hendak berbuka puasa dan makan sahur bersama-sama, tetapi hendak buat macam mana lagi, semua sudah bawa haluan dan ikut keluarga masing-masing,” ujarnya sebak.
Dalam pada itu, Din berkata, dia kini hanya menumpang kasih sayang daripada rakan-rakan gelandangannya serta bantuan kewangan daripada orang ramai.
“Saya kini tiada pendapatan tetap dan tempat tinggal. Saya berharap diberi pekerjaan dengan menerima gaji harian untuk meneruskan kelangsungan hidup seperti orang lain.
“Saya juga inginkan tempat berteduh yang lebih selesa dan boleh keluar mencari makanan setiap hari,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











