LRA Sultan Ismail hanya mampu rawat 53 juta liter air sehari akibat pencemaran - Utusan Malaysia

LRA Sultan Ismail hanya mampu rawat 53 juta liter air sehari akibat pencemaran

HASNI Mohammad (tiga dari kiri) meninjau keadaan Sungai Skudai sempena Sambutan Hari Air Sedunia Sayangi Sungai Skudai di Loji Sungai Skudai di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, di sini yang sepatutnya boleh merawat sehingga 227 juta liter sehari (JLH) kini hanya mampu merawat 53 juta JLH akibat pencemaran di Sungai Skudai.

Masalah pencemaran terbabit dikesan disebabkan pembuangan sampah sarap dan ammonia yang berpunca daripada buangan sisa industri dan pusat kumbahan sehingga memberi impak kepada operasi LRA terbabit.

Memaklumkan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pencemaran Sungai Skudai itu menyebabkan LRA Sultan Ismail tidak dapat berfungsi pada kapasiti penuh.

“Keadaan akan bertambah buruk pada musim kemarau atau panas menyebabkan beberapa kawasan di Johor Bahru yang menerima sumber air daripada LRA ini terpaksa dibekalkan air secara berjadual.

“Hal itu terpaksa dilakukan kerana air sungai tidak boleh dirawat pada musim panas dan kemarau kerana terlalu tercemar kerana pada waktu ini kualiti air berada di kelas tiga.

“Sekiranya ada usaha bersepadu, kapasiti loji boleh ditingkatkan pada kelas dua sekali gus dapat mengurangkan kos rawatan air di Skudai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Sayangi Sungai Skudai sempena Hari Air Sedunia peringkat Negeri Johor, di sini hari ini.

Sungai Skudai yang berkeluasan sepanjang 46 kilometer berpunca dari kaki Bukit Sedenak, Kulai dan berakhir di Selat Johor terletak di dalam kawasan Johor Bahru, Pulai dan Kulai.

Sungai berkenaan merupakan sumber air utama bagi LRA Sultan Ismail yang membekalkan air terawat kepada 163,250 pengguna di daerah ini.

Sementara itu, Hasni berharap kerjasama bersepadu agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) dengan Ranhill SAJ mampu mempertingkat kapasiti loji berkenaan.

Katanya, program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sepanjang empat kilometer di sungai itu yang akan dijadikan sebagai kawasan rekreasi diharapkan membantu usaha pemuliharaan sungai di negeri ini dan tidak menjadi program gajah putih.

“Kerajaan negeri menerusi pelbagai agensi berkaitan akan terus memantau dan memastikan program-program pemuliharaan sungai akan diteruskan dengan jayanya termasuk penglibatan masyarakat setempat.

“Jika kita buat denai yang menelan belanja ratusan ribu tetapi tidak mendapat kerjasama orang ramai, maka denai itu dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan hasrat kerajaan akhirnya tidak tercapai,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya