fbpx

Lima nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan Sabah

LIMA nelayan Vietnam ditahan ketika mencerobohi perairan negara berdekatan Pulau Mantanani, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebuah bot nelayan asing bersama lima lelaki warga Vietnam ditahan ketika menceroboh masuk perairan Pulau Mantanani, Kota Belud dekat sini pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, kesemua nelayan termasuk tekong warga asing yang berusia antara 17 hingga 40 tahun itu disyaki menangkap hasil laut negara tanpa sebarang permit sah.

Beliau berkata, Pulau Mantanani dikenal pasti sebagai salah satu kawasan tumpuan bot-bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam untuk melabuhkan pukat bagi menjarah serta mengaut hasil laut negara secara haram.

“Tangkapan ini merupakan susulan daripada strategi khas di bawah Op Naga Timur dan Op Kuda Laut khusus bagi membanteras serta memerangi isu pencerobohan bot nelayan asing di perairan Sabah.

“Salah satu strategi yang dirangka ialah dengan mengenal pasti kawasan-kawasan potensi atau titik panas pencerobohan bot nelayan asing di perairan Sabah dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohd. Rosli berkata, nelayan warga asing itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu berada di dalam perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa.

Jika didapati bersalah, tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta manakala kru boleh didenda RM600,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bot serta lima nelayan tersebut telah diiring masuk ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut.

Katanya, perairan Sabah dan Labuan diancam aktiviti pencerobohan oleh nelayan Vietnam.

Pada 2019, Maritim Malaysia merekodkan 12 tangkapan bot nelayan Vietnam manakala tiga tangkapan serta dua pengusiran pada tahun lalu dan empat tangkapan dalam tahun ini di perairan Labuan, Kudat dan Kota Kinabalu.

Operasi membanteras kemasukan bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.

“Maritim Malaysia akan kekal komited dan tegas dalam menguatkuasakan undang-undang untuk memastikan perairan negara terutamanya di Sabah aman dan selamat untuk semua pengguna.

“Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim untuk untuk terus bekerjasama memberikan informasi dan maklumat berkaitan salah laku jenayah atau perkara kecemasan yang berlaku di perairan negara ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Labuan di talian 088-387774 atau melalui talian kecemasan MERS 999,” kata Mohd. Rosli.

×
×