Kerajaan akan dapatkan maklumat klinikal terkini AstraZeneca - Utusan Malaysia

Kerajaan akan dapatkan maklumat klinikal terkini AstraZeneca

KHAIRY Jamaluddin disambut Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr. Awang Adek Hussin (kanan) dan Naib Canselor USM, Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan semasa melawat bangunan Inkubator Inovasi Universiti (I2U) dan Sains@USM, Bukit Jambul. - UTUSAN/MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

\EORGETOWN: Kerajaan akan mendapatkan maklumat klinikal terkini daripada pengeluar vaksin Covid-19 AstraZeneca ekoran terdapat berita terbaharu mengenai kesan sampingan vaksin tersebut kepada pengguna di United Kingdom (UK).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana keputusan kerajaan membekalkan vaksin AstraZeneca itu kepada rakyat bukan dilakukan mengikut laporan berita semata-mata sebaliknya dibuat dengan menggunakan data klinikal.

“Apabila kita terima maklumat baru dalam berita, kita akan minta maklumat klinikal daripada AstraZeneca dan juga maklumat klinikal daripada Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke The Catalyst for Malaysia’s Technology Ecosystem (CREST), Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Pada 18 Mac lalu, agensi kawal selia perubatan UK melaporkan terdapat lima kes kejadian darah beku pada otak dalam kalangan 11 juta penerima vaksin AstraZeneca.

Semalam jumlah kejadian darah beku meningkat kepada 22 laporan serta lapan lagi laporan kejadian serupa yang dikaitkan dengan platlet darah rendah daripada 18.1 juta penerima dos vaksin AstraZeneca.

Menurut Khairy, setakat ini pendirian kerajaan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 AstraZeneca bagi mengawal penularan Covid-19 masih tidak berubah.

“Kita belum lagi menerima apa-apa maklumat untuk kita membuat pendirian yang berbeza daripada apa yang ada sebelum ini.

“Kita juga yakin dengan kepakaran kedua-dua pihak iaitu Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin serta NPRA untuk menganalisis maklumat klinikal terhadap vaksin berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, setakat ini Malaysia masih belum mencapai tahap kemampuan menghasilkan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun pihaknya telah meletakkan cabaran kepada para penyelidik di negara ini untuk membangunkan vaksin bagi kegunaan manusia dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Pandemik Covid-19 ini bukan pandemik terakhir yang melanda dunia, tidak mustahil akan wujud pandemik atau epidemik yang berpunca daripada zoonotik virus dan kita semua perlu bersedia menghadapinya,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata, kerajaan juga sedang menjalankan penilaian risiko sama ada akan membenarkan pengembara yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk tidak menjalani kuarantin wajib setelah tiba di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.