Kementerian Pendidikan ‘caca marba’ - Maszlee - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan ‘caca marba’ – Maszlee

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) berpendapat Menteri Pendidikan serta dua timbalannya perlu meletakkan jawatan apabila gagal menguruskan sekolah dalam mendepani Covid-19 yang dilihat semakin ‘caca marba’.

Pengerusinya, Dr. Maszlee Malik berkata, perkara itu setelah mengambil maklum kegelisahan dan keresahan yang dialami guru, ibu bapa, penjaga, pelajar dan masyarakat berkaitan kes Covid-19 melibatkan kluster pendidikan yang semakin meningkat, mutakhir ini.

Katanya, apatah lagi usaha pembukaan sekolah secara berperingkat pada tahun ini yang dilakukan tergesa-gesa tidak lama selepas kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diumumkan.

Tambahnya, pihak Kementerian Pendidikan tidak memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat tentang pelan dan mekanisme pembelajaran dalam norma baharu jika terdapat kes-kes di sekolah apabila sekolah dibuka.

“Kami akur bahawa usaha mengekang Covid-19 daripada merebak lantas memutuskan rantaian jangkitan wabak menuntut usaha bersepadu semua pihak tanpa kompromi demi memastikan keberkesanan usaha terangkum tersebut.

“Apa yang berlaku kini, pihak pengurusan sekolah ramai yang hilang arah dan punca apabila peningkatan kes di sekolah, tetapi, mereka tidak dipersiap untuk PdPR di kala sekolah ditutup. Malah, pemberian 150,000 komputer riba yang dijanjikan kerajaan masih tidak kelihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maszlee berkata, pihaknya mengiktiraf usaha bersepadu pihak pengurusan sekolah dan para guru di seluruh negara dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pendidikan terus berjalan demi kesejahteraan dan masa depan anak-anak.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, rakyat umumnya kabur tentang hala tuju dan pelan tindakan terancang pihak kementerian berkaitan pendidikan di kala pandemik kerana tidak wujud ketelusan maklumat dari kementerian kepada rakyat.

“Apa yang pasti, kemarahan rakyat terutamanya para guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa terhadap kerajaan dan Kementerian Pendidikan adalah berhubung lemahnya pengendalian mereka terhadap situasi terkini.

“Atas kesedaran ini, kami mewakili semua Ahli Parlimen PH dan parti-parti pembangkang yang lain mendesak Menteri Pendidikan serta dua timbalannya yang dilihat gagal melaksanakan tugas mereka seperti yang diharapkan supaya segera berundur demi masa depan rakyat dan negara tercinta,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya