Kawal pembalakan dekat kolam tadahan - Utusan Malaysia

Kawal pembalakan dekat kolam tadahan

RUBIAH Talib menunjukkan air paip yang keruh dan berselut di rumahnya di Kampung Tanjung Pari, Baling, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kegiatan pembalakan di kawasan berdekatan kolam tadahan air bukit dipercayai menjadi punca penduduk di beberapa kampung di daerah ini menerima bekalan air yang keruh pada musim hujan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri perlu memastikan kegia­tan pembalakan di kawasan terlibat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk meng­elak­kan air bercampur selut mengalir ke kolam tadahan air bukit tersebut.

Dalam kalangan penduduk tempatan, bekalan air bukit itu lebih dikenali sebagai air masyarakat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bahagian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Baling, Syed Hairoul Faizey Syed Ali berkata, masalah air keruh dan berselut yang dite­rima oleh penduduk di daerah ini selepas hujan lebat semakin serius sejak kebelakangan.

Menurutnya, keadaan tersebut menimbulkan kesulitan kepada penduduk yang menggunakan bekalan air masyarakat itu untuk kegunaan harian mereka.

“Saya akui kejadian air keruh telah lama berlaku terutamanya selepas hujan tetapi tidak serius seperti sekarang.

“Bekalan air masyarakat yang diterima penduduk sekarang dah jadi macam teh tarik,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia difahamkan kira-kira sembilan kolam tadahan air bukit untuk membekalkan air kepada lebih 10,000 penduduk dibina di daerah ini.

Sehubungan itu, Syed Hairoul menambah, kerajaan perlu memastikan kegiatan pembalakan yang didakwa diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum ini tidak menjejaskan kualiti air dalam kolam tadahan tersebut.

“Pembalakan yang dijalankan di kawasan terlibat dipercayai mendapat kelulusan daripada kerajaan terdahulu.

“Namun, kerajaan negeri sekarang perlu mengambil tanggungjawab dalam menangani isu penduduk mendapat bekalan air masyarakat yang keruh,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kerajaan nege­ri menyediakan peruntukan maksimum RM200,000 bagi membaiki sistem saluran paip dari kolam tadahan air bukit di setiap kampung yang mempunyai kemudahan tersebut di daerah Sik dan Baling. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya