Jenuh beratur panjang ambil pasport - Utusan Malaysia

Jenuh beratur panjang ambil pasport

RATUSAN rakyat Malaysia terpaksa beratur panjang tidak mengira panas atau hujan semata-mata untuk mengambil pasport masing-masing yang sudah siap diperbaharui di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Beratus-ratus rakyat negara ini terpaksa berpanas atau berhujan setiap hari semata-mata untuk menyelesaikan urusan memperbaharui pasport masing-masing di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Mereka terpaksa berdiri empat ke lima jam di luar pagar suruhanjaya itu di Jalan Jervois untuk menunggu giliran memasuki pekarangan pejabat berkenaan bagi mengambil pasport yang sudah siap diperbaharui secara dalam talian.

Selain itu, tidak kurang juga yang terpaksa ‘membuat dua kali kerja’ apabila diarahkan balik sebelum datang semula pada hari lain dengan alasan proses tidak sempat dilakukan pada hari itu meskipun sudah mendapat pengesahan e-mel daripada Jabatan Imigresen untuk mengambil pasport masing-masing.

Menceritakan perkara itu kepada Utusan Malaysia, seorang rakyat Malaysia yang bermastautin di Singapura, R. Sasi Kumar, 36, berkata, dia ke pejabat suruhanjaya itu pada Selasa lalu setelah menerima e-mel yang memaklumkan pasportnya sudah siap dan perlu diambil antara pukul 10 pagi hingga 3 petang.

Bagaimanapun, ketika tiba di luar pekarangan suruhanjaya itu, dia mendapati ratusan rakyat Malaysia beratur lebih 100 meter.

“Saya mengambil cuti pada hari tersebut untuk mengambil pasport, tetapi malangnya setelah beratur hampir empat jam saya hanya menerima sehelai kertas kecil berwarna merah jambu yang hanya tertulis tarikh 24 April dan masa iaitu dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya.

Sasi Kumar berkata, dia difahamkan oleh rakan yang telah menyelesaikan urusan itu bahawa hanya satu kaunter dibuka untuk mengambil pasport dan kadangkala orang ramai yang beratur di luar dimaklumkan sistem bermasalah pada satu-satu masa.

Sementara itu, seorang rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Zulaikha berkata, dia mula beratur di luar pejabat suruhanjaya itu sejak pukul 7.45 pagi sebelum menyelesaikan urusan pengambilan pasportnya selepas tiga jam kemudian.

“Saya tidak pasti apa isunya tetapi difahamkan ia berlarutan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac tahun lalu yang menyebabkan pintu sempadan ditutup dan rakyat tidak boleh pulang ke Malaysia untuk memperbaharui pasport di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shahiran Awang, 27, mempersoalkan mengapa hanya satu kaunter dibuka untuk urusan pengambilan pasport.

Sebelum ini, ratusan ribu rakyat Malaysia yang berulang-alik dari Johor Bahru serta yang bermastautin di Singapura menggunakan cuti hujung minggu memperbaharui pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN