fbpx

Jemputan AS untuk negara sumbang 80 peratus GHG

TUAN IBRAHIM TUAN MAN

PUTRAJAYA: Sidang Kemuncak Pemimpin Berkenaan Iklim di Amerika Syarikat (AS) pada 22 dan 23 April ini tertumpu kepada negara-negara ekonomi besar dunia yang secara kolektif menyumbang kepada 80 peratus gas rumah kaca (GHG) kepada dunia.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persidangan secara one-off itu tidak memberi kesan kepada Malaysia kerana komitmen negara telah termaktub di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

Katanya, perkara itu perlu dilihat secara berasingan dengan isu pengimportan sisa plastik ke Malaysia baru-baru ini dari AS sekali gus menepis dakwaan dibuat Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng kononnya Malaysia tidak dijemput ke persidangan itu kerana negara kini kerap dilihat sebagai tempat pembuangan sisa plastik.

“Kriteria 40 negara yang dijemput ke sidang itu adalah¬†negara-negara maju yang menyumbang kepada 80 peratus GHG kepada dunia.

“Persidangan itu juga bagi meningkatkan komitmen dalam kalangan 40 negara berkenaan untuk mencapai matlamat mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum 1.5 darjah Celsius,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, Malaysia tidak mengalami impak perubahan iklim serius seperti kepulauan Carribean dan sebagainya yang mengecualikan negara daripada jemputan AS ke persidangan perubahan iklim itu.

“Negara yang menyerlah dalam agenda perubahan iklim seperti Sweden, Switzerland dan Thailand juga tidak dijemput menghadiri persidangan tersebut,” katanya.

Katanya, bermula awal tahun lalu hingga Mac tahun ini, Malaysia sudah melakukan proses penghantaran balik sisa plastik ke negara pengeksport bagi 143 kontena.

Malah pada masa ini, terdapat 81 kontena lagi sedang dalam tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk proses penghantaran balik.

Sebelum ini, Guan Eng dalam kenyataan mendakwa, pengecualian Malaysia pada sidang kemuncak anjuran AS itu mengesahkan bahawa Malaysia kini sebagai tempat pembuangan sisa plastik dan tidak menyokong kepada usaha mempromosikan perubahan iklim.

Guan Eng juga mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air membenarkan Malaysia secara perlahan-lahan menjadi tempat pembuangan sisa plastik dari AS.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN