Ibu bapa diabai boleh tuntut hak di mahkamah - Utusan Malaysia

Ibu bapa diabai boleh tuntut hak di mahkamah

MOHD. RIDHWAN MOHD. HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak-anak yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana mengabaikan ibu bapa bukan sahaja berdepan risiko harta disita malah individu berkenaan berdepan hukuman penjara.

Perkara itu termaktub dalam peruntukan undang-undang sedia ada iaitu menerusi akta atau enakmen Keluarga Islam, Kanun Keseksaan dan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521) yang boleh dikemukakan ke mahkamah syariah atau sivil.

Bagi masyarakat Islam, Seksyen 61 Akta Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut Hukum Syarak, supaya membayar nafkah kepada seseorang lain jika individu berkenaan tidak berupaya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam syarie, Mohd. Ridhwan Mohd. Hussin berkata, ibu bapa boleh menuntut hak mereka jika anak-anak mengabaikan mereka atau tidak bertanggungjawab termasuk mendapatkan perintah komital (menghina mahkamah).

“Situasi ini boleh berlaku jika mahkamah mengeluarkan perintah kepada anak-anak untuk menjaga dan memberi nafkah kepada ibu bapa. Jika anak-anak gagal mematuhinya, ibu bapa boleh mohon perintah komital terhadap anak-anak mereka.

“Komital menetapkan hukuman penjara terhadap kegagalan mana-mana pihak mematuhi arahan dan menghina mahkamah,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kisah dan luahan ibu bapa yang dibuang anak sehingga mereka perlu diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diletakkan di Rumah Seri Kenangan.

Bagaimanapun, Mohd. Ridhwan menjelaskan, menerusi pengalamannya mengendalikan kes, terdapat ibu bapa tidak tergamak berbuat demikian terhadap anak-anak kerana masih sayang meskipun mereka sebelum itu berhadapan saat-saat sukar dan duka.

“Mak ayah biasanya tidak sampai hati untuk ambil tindakan mahkamah terhadap anak-anak walaupun berpeluang cerah menang kes. Akhirnya kes ini tidak sampai ke penghujung apabila kedua-dua orang tua itu meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.

MUHAMMAD NUR HAFIZ ROSLAN

Sementara itu, mengenai penderaan fizikal terhadap ibu bapa pula, peguam Muhammad Nur Hafiz Roslan berkata, undang-undang terpakai adalah sama seperti dalam kes keganasan rumah tangga di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521) sekali gus terdapat ruang undang-undang melindungi ibu bapa daripada perlakuan tersebut.

“Misalnya Akta Keganasan Rumahtangga 1994 mendefinisikan orang dewasa yang tidak berkeupayaan sebagai seseorang pada keseluruhannya atau sebahagiannya tidak berkeupayaan atau lemah oleh sebab kehilangan upaya fizikal atau mental atau tidak sihat atau usia tua yang tinggal sebagai seorang anggota keluarga pesalah.

“Secara literalnya, seorang warga tua yang didera atau diabaikan sama ada secara fizikal, seksual, emosi, kewangan atau pengabaian,” katanya.

MUHAMMAD SYAFIQ MUKHTAR

Sementara itu, peguam Muhammad Syafiq Mukhtar berkata, aset anak-anak boleh dirampas serta-merta jika didapati mahkamah mendapati zuriat tersebut gagal bertanggungjawab dan menyebabkan kehidupan ibu bapa mereka terabai.

Jelasnya, meskipun tiada peruntukan undang-undang khusus berhubung jaminan hak ibu bapa, sebaliknya terdapat klausa akta dan enakmen tertentu yang memberi ruang pembelaan kepada mereka.

Beliau menambah, contohnya melalui Seksyen 61 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memberi tafsiran undang-undang lebih meluas apabila ia juga membabitkan anggota keluarga lain seperti ibu bapa.

“Tiada halangan mahkamah mengendalikan kes tuntutan nafkah ibu bapa walaupun negara belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus dan tanpa disedari sebenarnya pernah wujud kes dikemukakan ke mahkamah.

“Saya memberi satu contoh berlaku di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan yang memerintahkan anak untuk membayar nafkah bulanan dan melunaskan bil perubatan ibu bapa,” katanya.

Katanya, satu cara lain yang boleh dilakukan ibu bapa iaitu dengan memfailkan penarikan hibah (pemberian harta secara sukarela) ke mahkamah sekiranya pernah memindah milik harta kepada anak-anak ketika masih hidup. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya