Hasanah dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah wang RM50.4 juta - Utusan Malaysia

Hasanah dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah wang RM50.4 juta

Hasanah Ab. Hamid hadir perbicaraan kes pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar
Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab. Hamid daripada tuduhan pecah amanah wang AS$12.1 juta (RM50.4 juta).

Hakim Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menetapkan demikian selepas pendakwa raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan
terhadap Hasanah berikutan wujud penemuan-penemuan baharu berkaitan kes berkenaan.

Hakim itu berpendapat mahkamah tidak boleh menggesa pendakwa raya meneruskan kes terhadap Hasanah jika pihak pendakwaan menarik balik
tuduhan yang dikemukakan.

Dalam keputusan ringkasnya, Ahmad Shahrir berpuas hati pihak pendakwaan telah mengemukakan alasan yang wajar dalam melaksanakan
kuasa budi bicaranya untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap beliau.

Keputusan ringkas itu menyatakan, ketika mengemukakan permohonan agar Hasanah dilepas tanpa dibebaskan, pihak pendakwaan memberi
alasan bahawa tertuduh akan dihadapkan dengan pertuduhan pada masa akan datang berdasarkan kepada penemuan-penemuan baharu dalam kes
tersebut.

“Penemuan yang dinyatakan itu merupakan kekangan sementara kerana pihak pendakwaan mengesahkan bahawa tertuduh akan dihadapkan
semula dengan pertuduhan pada masa akan datang,” ujar hakim berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah melaksanakan kuasa budi bicaranya ketika tidak meneruskan pertuduhan
terhadap Hasanah mengikut Seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Ahmad Shahrir dalam keputusan ringkasnya turut mengemukakan nas undang-undang dalam satu kes di Mahkamah Rayuan yang menyatakan
apabila pendakwa raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan, mahkamah boleh memberi perintah pelepasan tanpa
pembebasan jika wujud alasan-alasan yang wajar.

Penghakiman Mahkamah Rayuan itu selanjutnya menyatakan, jika tiada alasan wajar, mahkamah sepatutnya memberi perintah pelepasan dan
pembebasan (DNA).

Ujar Ahmad Shahrir, prinsip ini diasaskan kepada gagasan bahawa tertuduh tidak seharusnya dibayangi sesuatu pertuduhan sedangkan tidak
dapat ditentukan sama ada dia akan didakwa semula atau sebaliknya.

Hari ini mahkamah sepatutnya mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan yang dijalankan secara tertutup kerana mereka dikategorikan
sebagai saksi terlindung.

Setakat ini, 10 saksi pendakwaan telah memberi keterangan di mahkamah terbuka bermula 6 Oktober tahun lalu.

Pendakwa raya bagaimanapun mengemukakan permohonan untuk menarik balik kes sebelum saksi-saksi terlindung memberi keterangan.

Tertuduh, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana
Menteri (JPM) melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Putrajaya di antara 30 April
dan 9 Mei 2018.

Hasanah dituduh pada 25 Oktober 2018 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun
dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya