Empat sungai terdedah pencemaran di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Empat sungai terdedah pencemaran di Negeri Sembilan

S. Veerapan dan Azuri Azizah melihat keadaan Sungai Batang Benar di Nilai selepas menghadiri Program Gotong-royong Denai Sungai Kebangsaan sempena Hari Bumi Peringkat Negeri Sembilan 2021 di Kampung Batang Benar, Mantin, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak empat batang sungai di Negeri Sembilan dikenal pasti terdedah kepada aktiviti pencemaran termasuk pembuangan berjadual seperti sisa minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, empat batang sungai tersebut ialah Sungai Anak Air Garam, Sungai Batang Benar, Sungai Belihoi dan saliran longkang monsun di Rasah yang kemudian mengalir ke Sungai Linggi.

Menurutnya, kesemua sungai yang terletak di daerah ini pernah merekodkan insiden pencemaran sebelum ini.

“Tempat-tempat ini adalah tempat ‘hotspot’ kerana ia terpencil, kita tiada kamera litar tertutup (CCTV) yang menyebabkan mereka membuang buangan berjadual seperti minyak ini ke dalam sungai.

“Kawasan ini tiada lampu, mereka menggunakan taktik di sebelah pagi semasa orang tiada terutama pada hari cuti untuk melakukan pembuangan sisa. Jadi, saya minta orang ramai kalau ada melihat aktiviti mencurigakan supaya memaklumkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya boleh diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Gotong-royong Denai Sungai Kebangsaan sempena Hari Bumi Peringkat Negeri Sembilan 2021 di Kampung Batang Benar, Mantin, Nilai dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah JAS negeri, Azuri Azizah Saedon.

Sementara itu, jelas Veerapan, kerajaan negeri ini telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membersihkan empat batang sungai tersebut yang tercemar sebelum ini.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong hasrat dan inisiatif agensi berkaitan untuk memastikan sungai-sungai dipelihara dan dipulihara daripada pencemaran.

“Namun, rakyat perlu ambil juga tanggungjawab untuk sama-sama jaga sungai kerana ia penting untuk kita, ia menjadi punca air kepada rakyat dan punca pendapatan kepada nelayan yang menangkap ikan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya