Dua lelaki ditahan bawa dadah dalam teh bungkusan cina - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan bawa dadah dalam teh bungkusan cina

DADAH yang dirampas diletakkan di dalam but sebuah kereta bersama dua individu di kawasan parkir kereta di Bandar Mahkota Cheras, Selangor dekat sini Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cubaan dua lelaki mengedar dadah jenis methaphetamine dengan berselindung di sebalik bungkusan teh cina membawa padah apabila mereka ditahan di kawasan parkir kereta sebuah pasar raya di Bandar Mahkota Cheras dekat sini Isnin lalu.

Dalam tangkapan kira-kira pukul 4.30 petang itu, dua individu berusia 30 dan 32 tahun ditahan bersama sebuah beg kanvas berwarna biru yang berisi 13 bungkusan teh cina mengandungi methaphetamine seberat 13.26 kilogram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua lelaki terbabit di kawasan parkir di pasar raya tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam but kereta dinaiki kedua-dua suspek jenis Proton Persona telah menemukan dadah diletak di dalam sebuah beg kanvas.

“Hasil siasatan mendapati dadah tersebut hendak dipasarkan di sekitar kawasan Lembah Klang dan nilai keseluruhan dadah ialah RM477,360.

“Kita turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Almera dan wang tunai berjumlah RM500 bersama kedua-dua suspek yang tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Jefferi, ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dan salah seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Kita percaya berdasarkan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 26,520 pengguna dalam sehari dengan setiap penggunaan 0.5 gram.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaga 1952,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya