JOHOR BAHRU: Dua buah sekolah di Taman Daya, di sini diarahkan tutup selama tujuh hari bermula hari ini kerana terdapat pelajar dijangkiti Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, penutupan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya 3 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Daya itu susulan dua beradik yang positif menghadiri sekolah berkenaan.
Katanya, difahamkan dua beradik itu adalah kontak rapat kepada nenek mereka yang menghadiri sebuah program di kawasan Kluster Bukit Aliff, di sini.
“Oleh itu, Pejabat Kesihatan Negeri Johor menasihatkan Majlis Keselamatan Negeri untuk mengarahkan kedua-dua sekolah berkenaan tutup selama tujuh hari.
“Sehubungan itu, kontak rapat di kedua-dua buah sekolah termasuk guru-guru telah diarahkan untuk menjalani ujian calitan Covid-19. Setakat ini masih belum ada yang disahkan positif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bubur Lambuk Johorfm Pandu Lalu Sucinya Ramadan kali ke-22 di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai 159 pelajar daripada lima buah sekolah di sekitar daerah ini yang diarahkan menjalani saringan Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 di Pasir Gudang dan Bukit Indah, dua hari lepas.
Ditanya mengenai dua buah sekolah lagi diarahkan tutup di kawasan Saleng, Mazlan memberitahu, pihaknya belum mendapat sebarang maklumat mengenainya.
“Setakat Ini kita tidak ada maklumat mengenainya. Kita di peringkat negeri ini hanya memantau sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mazlan menambah, beliau mendapat aduan daripada beberapa wakil rakyat daripada blok pembangkang yang mendesak sekolah ditutup bagi mengelak penularan pandemik berkenaan.
“Kalau aduan daripada ibu bapa yang mahu sekolah di negeri ini ditutup belum ada cuma dari wakil rakyat sahaja menyuarakan perkara tersebut. Saya berjanji kepada mereka bahawa kita sentiasa memantau.
“Jangan bimbang kerana keadaan masih terkawal, kalau ada kes kita akan terus tutup, jadi jangan risau. Kalau tidak tutup mungkin ia hanya khabar angin sahaja,” katanya.- UTUSAN ONLINE