fbpx

Cari ilham, nafas baharu untuk KL Sentral

WEE Ka Siong bercerita mengenai peranan pengendali rel dan penyedia perkhidmatan di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini, hari ini. -GAMBAR FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mendepani pasca Covid-19, semua pemegang taruh digesa bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi mencari ilham dan memberi nafas baharu untuk Stesen KL Sentral yang kini sudah berusia 20 tahun.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, tapak stesen ini dahulunya merupakan ‘marshalling yard’ milik Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) dan hanya digunakan sebagai depoh dan gudang membaiki gerabak keretapi.

Katanya, pembinaan stesen ini bermula pada tahun 1997 dan dibuka secara rasminya pada 16 April 2001.

Menurutnya, Stesen Sentral Kuala Lumpur direka sebagai hab ‘multimodal’ atau hab pelbagai pengangkutan yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.

“Jika bukan kerana situasi Covid-19, Stesen KL Sentral menerima seramai lebih 200,000 orang pengguna setiap hari berbanding dengan kapasiti ketika reka bentuk yang hanya menampung 100,000 orang pengguna setiap hari.

“Kita memerlukan semua pemegang taruh supaya bekerjasama dalam memastikan Stesen KLSentral ini terus menjadi lokasi berpotensi demi kepentingan rakyat dan negara. Ia juga bagi memenuhi keperluan semasa dan memastikan ia kekal menjadi pemangkin kepada pembangunan berteraskan pengangkutan yang memacu aktiviti ekonomi komuniti setempat,” katanya sewaktu menghadiri sambutan ulang tahun ke-20 KL Sentral di sini hari ini.

Beliau turut mengagihkan pek makanan berbuka puasa kepada para pengguna di Stesen Sentral Kuala Lumpur yang disediakan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), pihak yang mengendalikan stesen ini menerusi anak syarikatnya, Kuala Lumpur Sentral Sdn Bhd.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Mohd. Imran Mohd. Salim; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Normah Osman; Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Puan Noormah Mohd. Nor.

Tambah Ka Siong, apabila perkhidmatan ETS dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru pada tahun 2023 bermula serta terbinanya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersama Serendah Bypass kelak, jumlah penumpang di Stesen Sentral KL dijangka meningkat dan segala kargo jenis bahan-bahan kimia dan bahan-bahan berisiko dari negeri-negeri utara tidak memasuki kawasan tumpuan awam ini. -UTUSAN ONLINE

×
×