PASIR PUTEH: Pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam Kabinet dan syarikat milik kerajaan (GLC) disaran melepaskan jawatan beramai-ramai sebagai tanda sokongan moral terhadap keputusan parti tidak bekerjama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman yang melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) berkuat kuasa malam semalam berkata, pemimpin UMNO tidak boleh menjadi seperti musang berbulu ayam.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Kelantan mengumumkan perkara itu ketika berucap dalam Majlis Penerangan Isu Semasa di Dewan Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, keputusan itu selaras dengan usul diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO, iaitu untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Katanya, UMNO Bahagian Pasir Puteh juga membawa suara umbi untuk parti segera memutuskan kerjasama dengan Bersatu tanpa perlu menunggu tempoh tertentu dan tindakan beliau meletak jawatan adalah permulaan ke arah itu.
“Surat peletakan jawatan akan saya serah sendiri kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Isnin ini. Keputusan ini ikhlas tanpa desakan mana-mana pihak demi kepentingan parti,” katanya.
Menurut Zawawi, beliau menyokong pandangan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa keputusan penting dalam perhimpunan itu baru-baru ini harus disusuli peletakan jawatan menteri, timbalan menteri serta pengerusi GLC daripada UMNO.
“Namun, apa yang kita perhatikan ada pemimpin terbabit keberatan untuk meletak jawatan, malah ada yang bertindak merujuk pendapat pucuk kepemimpinan Bersatu mengenai cadangan partinya sendiri.
“Berhenti secara ramai-ramai adalah sokongan moral kepada UMNO bagi menyedarkan kerajaan PN keadaan hari ini bukanlah seperti mereka sangkakan. Kita tidak gemar ada ahli UMNO yang seperti musang berbulu ayam,” ujarnya.
Beliau dilantik sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn. Bhd. pada 26 Oktober tahun lepas.
Sementara itu, program berkenaan turut dihadiri Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahli Parlimen Machang itu bagaimanapun enggan memberi komen berhubung peletakan jawatan Zawawi atau mengulas sebarang isu berkaitan perkembangan terkini UMNO di Kelantan selepas Perhimpunan Agung parti tersebut berakhir minggu lalu.
Untuk rekod, Ahmad Jazlan yang pernah menjadi Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tekad meletak jawatan tersebut Januari lalu, sekali gus menjadi Ahli Parlimen UMNO pertama menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.- UTUSAN










