Bazar Ramadan mini kru kabin - Utusan Malaysia

Bazar Ramadan mini kru kabin

SEBAHAGIAN peniaga yang terdiri daripada pramugara yang menjual juadah berbuka puasa di bazar Ramadan kru kabin di Kota Seriemas, Nilai, semalam. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai lapan bekas pramugara dan pramugari syarikat penerbangan termasuk mereka yang masih bekerja dalam bidang tersebut mengambil peluang sempena bulan Ramadan kali ini dengan membuka bazar Ramadan mini sebagai usaha meraih pendapatan selepas kehilangan kerja kesan penularan Covid-19.

Kesemua mereka menjual ane­ka juadah untuk berbuka puasa menerusi lapan gerai di bazar Ramadan di Kota Seriemas, Nilai, dekat sini.

Bekas pramugara, Mohd. Aizamuddin Zakri Baharom, 34, berkata, dia mula berniaga makanan di tepi jalan selepas dibuang kerja Jun tahun lalu.

“Saya memulakan perniagaan makanan dan minuman pada Jun tahun lalu di tepi rumah seorang kawan yang berniaga ayam bakar. Pada waktu itu bulan Ramadan dan saya menyara kehidupan semasa tiada penerbangan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selepas bulan puasa itu, kami baru dapat tahu kena buang kerja. Duit pampasan yang diberikan saya gunakan untuk membuka gerai tepi jalan dekat USJ 9, Subang Jaya, Selangor namun ada masalah dan terpaksa menutup gerai berkenaan dan buka pula di USJ 2,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, pelaksanaan PKP memberi impak yang besar sehinggakan dia terpaksa menutup gerai dan mengambil keputusan pulang ke kampung.

“Saya nekad pulang ke kampung dan berbekalkan RM300 yang dipinjam dari ibu, saya pulang ke sini untuk memulakan perniagaan ayam bakar bersama rakan yang masih bekerja sebagai pramugara, Sulaiman Shafie.

“Saya terpanggil membantu kru kabin lain yang terjejas dan menerima nasib lalu timbul idea untuk membuka bazar Ramadan ini. Sehingga kini terdapat lapan pramugara dan pramugari yang tinggal berdekatan menyertai untuk berniaga di sini,” katanya yang turut menjual produk makanan sejuk beku daging bakar.

Menurut Mohd. Aizamuddin, selain ayam bakar yang dijual mereka berdua, makanan lain yang dijual rakan-rakanya ialah seperti aiskrim Malaysia, air mangga serta spageti dan setakat ini jelasnya, bazar Ramadan mini kru kabin itu menerima maklum balas positif penduduk setempat.

Sementara itu, Sulaiman berkata, terdapat empat pramugara termasuk dirinya yang masih bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan turut berniaga di bazar Ramadan ber­kenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN