Audio Zahid-Anwar: Ada laporan kita siasat - Utusan Malaysia

Audio Zahid-Anwar: Ada laporan kita siasat

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menunggu ketibaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau CyberSecurity Malaysia masih belum menerima laporan berhubung rakaman audio yang didakwa perbualan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, siasatan berhubung perkara tersebut hanya akan dilakukan selepas mereka menerima laporan.

“Kita tunggu, kalau ada laporan dibuat, biasanya kes-kes seperti ini akan disiasat di bawah CyberSecurity.

“Setakat ini, saya tahu belum ada laporan dibuat. Tidak mudah (untuk mengambil tindakan kepada penyebar), kalau ada laporan kita akan siasat. Laporan polis melibatkan kes itu kita tidak tahu, tapi di pihak kami masih belum ada laporan,” katanya ketika ditemui selepas menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau di sini semalam.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sejak kelmarin, tular rakaman kira-kira empat minit melibatkan suara mirip Ahmad Zahid dan Anwar berhubung apa yang berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada akhir bulan lalu.

Dalam rakaman tersebut, suara mirip Anwar didengar memuji individu yang memiliki suara seakan Ahmad Zahid kerana berjaya mengendalikan PAU.

Selain itu, suara yang didakwa Ahmad Zahid itu berkata, apa yang diucapkan ketika PAU hanya bersifat taktikal.

Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Anwar telah menafikan suara dalam audio berkenaan adalah miliknya dan masing-masing berkata akan membuat laporan polis.

Mengulas mengenai kunjungan hormat beliau mengadap Raja Perlis, Saifuddin memberitahu, antara topik yang dibincangkan bersama Tuanku Syed Sirajuddin ialah berkaitan kesalinghubungan internet dan perkembangan ekonomi digital.

“Saya mendapat maklum Tuanku Raja Perlis memang sangat berminat bukan saja soal kesalinghubungan, tetapi juga kemajuan Perlis dari segi ekonomi digital. Saya juga memohon titah nasihat daripada baginda mengenai perkara yang boleh ditambah baik di Perlis, terutama hal-hal yang menjadi tanggungjawab kementerian itu dan agensi di bawahnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya